IPOH, 20 SEPT: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas terjatuh di kawasan Air Terjun Buntong, di sini hari ini.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) pada 11.26 pagi memohon bantuan membawa turun mangsa.
Beliau berkata sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya anggota di kaki bukit, pasukan perlu berjalan kaki kira-kira satu kilometer sebelum tiba di lokasi mangsa jatuh.
"Mangsa yang cedera telah menerima rawatan awal daripada petugas KKM sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shazlean berkata operasi terkawal pada 2 petang dan tamat sepenuhnya pada 2.20 petang sebelum mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA