ad

Malaysia dijangka alami fenomena La Nina singkat

20 Sep 2025, 10:37 AM
Malaysia dijangka alami fenomena La Nina singkat
Malaysia dijangka alami fenomena La Nina singkat
Malaysia dijangka alami fenomena La Nina singkat

SHAH ALAM, 20 SEPT: Malaysia diramal mengalami fenomena La Nina dalam tempoh singkat bermula awal musim sejuk 2025 hingga awal 2026 sebelum kembali kepada keadaan normal.

Pusat Iklim Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan berkata tinjauan jangka panjang dari September 2025 hingga Februari 2026 menunjukkan kebanyakan model iklim antarabangsa meramalkan keadaan El Nino Southern Oscillation (ENSO).

“ENSO dijangka berterusan dengan kebarangkalian 56 peratus bagi tempoh Ogos hingga Oktober 2025. Selepas itu, terdapat kemungkinan berlakunya La Nina jangka pendek sebelum kembali semula kepada keadaan ENSO.

“Berdasarkan konsensus beberapa model iklim, fenomena global yang mempengaruhi cuaca negara seperti ENSO, Madden Julian Oscillation (MJO) dan Indian Ocean Dipole (IOD) turut diambil kira. Majoriti model antarabangsa menunjukkan ENSO terkini neutral dengan Indeks Nino Lautan (ONI) bagi Mei, Jun dan Julai 2025 direkodkan -0.1 darjah Celsius,” katanya.

Menurut MetMalaysia, negara kini berada dalam fasa akhir Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan hingga hujung September, menyebabkan kelembapan udara rendah serta kurang pembentukan awan hujan di kebanyakan negeri.

“Taburan hujan dijangka kekal rendah dengan lebih banyak hari tanpa hujan berbanding hari hujan. Fenomena jerebu setempat dan rentas sempadan berpotensi berlaku sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal.

“Walaupun cuaca umumnya kering, kejadian angin kencang serta ribut petir tetap berpotensi berlaku, khususnya di kawasan barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah,” katanya lagi.

Orang awam dinasihatkan berwaspada serta sentiasa menyemak keadaan cuaca dari semasa ke semasa menerusi portal rasmi MetMalaysia.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.