KUALA LUMPUR, 21 OKT: Fenomena La Nina yang dijangka berlaku dalam tempoh terdekat diramal bersifat lemah dan hanya bertahan untuk tempoh singkat, kata ketua pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata corak ini hampir sama seperti yang berlaku pada penghujung tahun lalu dan dijangka tidak memberi kesan besar kepada corak cuaca negara, lapor Berita Harian.
“La Nina bukan fenomena luar biasa kerana ia berlaku secara berulang dalam kitaran dua hingga tujuh tahun, diselangi keadaan El Nino atau neutral,” katanya.
Menurut beliau, analisis model cuaca METMalaysia dan antarabangsa menunjukkan tiada jangkaan cuaca ekstrem pada musim tengkujuh kali ini.
“Sabah dijangka menerima hujan melebihi purata antara November hingga Februari 2026, manakala negeri lain berada pada paras biasa,” katanya.
Dr Mohd Hisham menambah, METMalaysia akan terus memantau perkembangan semasa dan mengemaskini ramalan dari semasa ke semasa bagi membantu agensi berkaitan membuat persiapan awal menghadapi Monsun Timur Laut.