SHAH ALAM, 11 FEB: Selangor diramal mengalami pengurangan taburan hujan dengan keadaan cuaca lebih panas sehingga Julai tahun ini, maklum ketua pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata tinjauan cuaca terkini bagi tempoh Februari hingga Julai 2026 menunjukkan Selangor akan mengalami pengurangan taburan hujan sebanyak 20 hingga 40 peratus terutama pada Julai.

Berdasarkan analisis keadaan iklim semasa, beliau menjelaskan, fenomena La Nina berintensiti lemah sedang melanda dunia sejak November tahun lalu dan ia dilihat lebih aktif serta memberi kesan cuaca lembap yang ketara di Indonesia dan Australia berbanding Malaysia.
“Susulan itu, cuaca di Malaysia khususnya bagi negeri di Semenanjung mengalami keadaan kurang hujan dengan lebih awal. Kelazimannya, cuaca kurang hujan dan panas di Semenanjung hanya bermula pada penghujung musim Monsun Timur Laut (MTL), sekitar hujung Januari sehingga Mac.
“Namun, kali ini, ia bermula lebih awal pada penghujung Disember tahun lalu,” katanya kepada Media Selangor.
Dr Mohd Hisham berkata kejadian kebakaran hutan kerap berlaku susulan cuaca panas di Selangor melibatkan kawasan Hutan Simpan Raja Musa, Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan Johan Setia.
“Ini merupakan tanah gambut yang mudah terbakar, terutamanya ketika mengalami cuaca panas berterusan,” katanya.
Menurutnya lagi, METMalaysia masih menggunakan Sistem Penarafan Bahaya Kebakaran (FDRS) bagi memantau risiko kebakaran hutan, tanah gambut dan tumbuhan, selain membekalkan maklumat penting untuk pengurusan kebakaran.

Beliau menambah sistem rasmi berkenaan akan memantau risiko secara berterusan di samping memaparkan tahap potensi berlakunya kebakaran hutan di seluruh negara.
“Sistem FDRS ini diwujudkan sebagai mekanisme amaran awal bagi memberikan jangkaan serta penilaian potensi berlakunya kebakaran hutan.
“Indeks-indeks yang dipaparkan dalam FDRS mengandungi maklumat meteorologi dan persekitaran yang penting bagi menilai tahap kemudahan sesuatu kawasan untuk terbakar.
“Maklumat ini digunakan oleh agensi berkaitan seperti bomba dan PBT untuk membuat tindakan pencegahan awal, termasuk memantau kawasan berisiko tinggi dan mengawal aktiviti pembakaran terbuka bagi mencegah kebakaran,” katanya lagi.


