GOMBAK, 20 SEPT: Pemeliharaan warisan budaya pelbagai etnik terus diberi keutamaan Kerajaan Negeri melalui Belanjawan Selangor 2026 yang bakal dibentangkan November depan, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan kejayaan Selangor dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan dan sukan perlu bergerak seiring dengan usaha mempertahankan identiti budaya masyarakat.

“Selepas ini, saya akan minta EXCO Kebudayaan Dato’ Borhan Aman Shah untuk menganjurkan program yang tidak hanya menumpukan persembahan seni sahaja tetapi menumpukan sudut aspek pembangunan yang memaparkan nilai kekuatan di setiap daerah.
“Ini kerana cita-cita kita mahukan menjadikan negeri bukan sahaja cemerlang dari sudut pencapaian akademik, sukan dengan menjadi juara Sukan Malaysia (SUKMA), juara dalam pelaburan dan penyumbang ekonomi tetapi juga menang dalam mempertahan identiti masyarakat yang hidup dalam aman dan bersatu-padu.
“Insya-Allah tahun hadapan dalam Belanjawan Selangor 2026, pentadbiran negeri akan menyediakan dana lagi penganjuran program kebudayaan yang melibatkan komuniti di setiap daerah,” katanya ketika berucap pada Temasya Seni Budaya dan Warisan Selangor di sini hari ini.

Amirudin menambah, keamanan, kestabilan dan kemakmuran negeri adalah hasil perpaduan rakyat berbilang kaum selain hala tuju jelas yang dibawa pentadbiran negeri.
Menurutnya, komitmen serta sokongan padu rakyat membolehkan Selangor mengharungi pelbagai cabaran termasuk pandemik Covid-19 dan bencana banjir besar pada 2021.
“Pada tahun lepas, antara pencapaian Selangor mencatat nilai pertambahan ekonomi hingga RM26 bilion yang dapat meneruskan penggajian rakyat Selangor (penjawat awam) untuk tempoh 25 tahun.
“Kadar purata pendidikan nasional di Selangor bagi peringkat Sijil Pendidikan Malaysia meningkat untuk dua tahun berturut-turut hasil dari kerja keras para guru, murid dan Kerajaan Negeri melalui Program Tuisyen Rakyat Selangor.
“Walaupun Selangor terkenal negeri paling maju, pencapaian ekonomi yang baik, mempunyai hasil yang memberangsangkan, penduduk yang padat, pelaburan masuk hingga berbillion ringgit namun kita perlu mengajar masyarakat mengekalkan kebudayaan di masa hadapan,” katanya lagi.