ad

Ibu bapa digalak hantar anak autistik sertai latihan kemahiran percuma

20 Sep 2025, 4:47 AM
Ibu bapa digalak hantar anak autistik sertai latihan kemahiran percuma

BANGI, 20 SEPT: Ibu bapa digalakkan menghantar anak-anak mereka yang berkeperluan khas, khususnya golongan belia autistik mengikuti kursus kemahiran yang disediakan oleh Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS).

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata langkah itu bagi memastikan golongan berkenaan mendapat peluang latihan dan kemahiran yang dapat membantu mereka berdikari dan menyumbang kepada masyarakat.

"Saya lihat kita ada ramai belia yang telah dilatih setiap tahun dan saya percaya dengan kursus yang percuma ini, ibu bapa sepatutnya mengambil peluang ini untuk hantar anak-anak mereka ke ILKBS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvokesyen ILKBS ke-20 di sini hari ini.

Difahamkan, sejak pengenalan kursus khas untuk belia autistik pada 2018, sebanyak 343 graduan telah berjaya menamatkan latihan mereka dan sebanyak 48 orang lagi menerima sijil mereka hari ini.

Kata Hannah, ILKBS bukan sahaja melatih golongan belia untuk mendapat kemahiran, malah ramai alumni telah menjadi usahawan berjaya dan menyumbang kembali kepada institut dengan mengambil pelatih baharu bekerja serta memberikan bantuan dalam bentuk kepakaran.

"Setiap tahun, kami jejaki mereka, jadi kita ada ramai alumni yang telah pun menjadi usahawan. Dan mereka telah mengambil junior bekerja dengan syarikat mereka … mereka juga datang semula ke ILKBS serta memberikan sumbangan dalam pelbagai bentuk," katanya.

Terdahulu dalam ucapan perasmian, Hannah berkata kadar kebolehpasaran lepasan ILKBS kini mencecah 97 peratus dan angka itu jauh mengatasi sasaran asal serta memberikan keyakinan bahawa laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ialah jalan yang sahih untuk masa depan belia Malaysia.

"Malah, KBS melalui ILKBS bukan pemain kecil dalam landskap TVET negara. KBS adalah antara peneraju utama pendidikan TVET dan kini menganggotai Majlis TVET Negara, memastikan suara belia didengari dalam hala tuju dasar kemahiran negara.

"Yang lebih membanggakan, ILKBS juga komited untuk menjadi juara dalam menyediakan peluang latihan khas buat belia autistik menerusi pelaksanaan Program Inklusiviti Belia Autisme dan Berkeperluan Khas di beberapa buah ILKBS terpilih," katanya.

Sejumlah 3,240 graduan ILKBS akan menerima sijil sebagai pengiktirafan bagi peringkat Diploma Lanjutan, Diploma, Sijil Lanjutan dan Sijil bagi sesi di Semenanjung Malaysia manakala di Sabah, sebanyak 171 orang akan menerima sijil pelbagai peringkat pengajian pada 27 Sept serta 97 orang di Sarawak, 4 Okt ini.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.