MELAKA, 27 SEPT: Sebanyak 132 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) untuk kanak-kanak autistik akan mula beroperasi pada Januari depan.
Ketua Pengarahnya Datuk Mohd Hanafiah Man berkata saringan untuk pengambilan kanak-kanak istimewa itu akan dibuka bermula bulan depan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan.
"Tabika ini akan dapat memberikan manfaat sekurang-kurangnya kepada hampir 2,000 kanak-kanak yang mengalami autisme dan kalau nak diikutkan permohonan (daripada ibu bapa) agak tinggi.
"Bagaimanapun buat masa ini kita cuma dapat menampung satu kelas tidak lebih daripada 15 orang, 10 hingga 15 sahaja kerana satu kelas akan ada tiga guru. Seorang guru akan jaga antara lima hingga tujuh anak yang terlibat kerana itu adalah standard yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Festival Masyarakat KEMAS Negeri Melaka 2026 di Dewan Serbaguna Semabok Dalam di sini hari ini.
Festival itu dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Mohd Hanafiah berkata antara syarat bagi mengikuti kelas itu ialah kanak-kanak terlibat mempunyai kad orang kurang upaya (OKU) dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan selari dengan dasar ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).
"Kalau kita tengok di KPM, kelas-kelas khas ini anak-anak ini mendapat elaun sebagai anak-anak istimewa.
"Jadi kita juga ingin memastikan anak-anak istimewa ini berdaftar dengan JKM untuk mereka mendapat elaun atau bantuan sepertimana dirancang KPM," katanya.






