KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Pengunjung Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2025 (Mihas 2025) berpeluang mencuba nasi itik panggang secara percuma, sehingga Sabtu ini.
Pengusaha Raja Itik Panggang, Dr Mohammad Taufiq berkata menu tersebut telah berada di pasaran sejak lebih setahun lalu dengan lima kios di sekitar Lembah Klang.
Restoran utamanya di Salak Selatan manakala tiga kios di Putrajaya dan masing-masing satu di Tasik Permaisuri dan di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
“Apa yang membuatkan nasi itik panggang kami unik dan halal adalah kerana mempunyai dua perasa iaitu perisa asli dan rangup (crispy) yang mana resepinya adalah dari tuan guru saya dari Hong Kong.

“Jarang kita dapat jumpa itik panggang halal. Oleh itu, kali ini kita ingin perkenalkan ia di MIHAS dan sebar luaskan lagi dalam kalangan masyarakat Muslim.
“Kita buat dengan penuh istimewa dan resepinya juga unik, master (tuan) ajar saya itu berada di kedudukan ketiga di Hong Kong dan sebab itu saya balik Malaysia perkenalkan ia di sini,” katanya ketika ditemui Media Selangor.
Sebumbung di bawah Pavilion Selangor, Raja Itik Panggang berkenaan dibawakan oleh Halal International Selangor Toyyiba Sdn Bhd di Mihas 2025.
Dijual serendah RM18, Raja Itik Panggang pertama kali memasuki MIHAS dengan misi mahu menu lazat dan unik itu lebih dikenali terutama dalam kalangan masyarakat Muslim.

MIHAS 2025 membuka tirainya semalam di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lumpur, di sini.
Acara bertaraf antarabangsa edisi ke-21 yang dianjurkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berlangsung selama empat hari sehingga Sabtu.
Program menghimpunkan lebih 2,400 gerai pameran dan dijangka menarik kehadiran sekitar 45,000 pelawat dari lebih 80 negara, menjadikannya antara platform perdagangan halal paling berpengaruh di dunia.