HONG KONG, 30 NOV: Angka korban akibat kebakaran di kompleks perumahan bertingkat tinggi di Hong Kong meningkat kepada 146 pada Ahad, dengan lebih 40 orang masih hilang, menurut polis di wilayah pentadbiran khas China itu.
Bercakap semasa sidang media yang disiarkan penyiar awam RTHK, polis berkata angka kematian mungkin terus meningkat.
Seramai 79 orang cedera dalam kebakaran yang meletus pada Rabu.
Polis berkata pekerja penyelamat setakat ini telah memeriksa empat daripada tujuh blok bangunan, namun operasi terjejas akibat jarak penglihatan yang rendah kerana keadaan dalam unit kediaman yang sangat gelap akibat kemusnahan.
Pencarian di blok bangunan yang lain mungkin mengambil masa beberapa minggu, menurut polis.


