PUCHONG, 19 SEPT: Kerajaan Negeri menubuhkan jawatankuasa bebas bagi menilai laporan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) berhubung insiden letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata laporan berkenaan yang turut mendapat kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa agensi teknikal lain akan diteliti oleh lapan ahli jawatankuasa terpilih.
“Senarai lapan ahli jawatankuasa tersebut telah pun diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum ini dan akan diumumkan sebaik sahaja mereka menerima surat pelantikan rasmi.
“Senarai ini telah dipersetujui dan akan diumumkan dalam masa terdekat selepas Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Ahmad Fazli Ahmad Tajuddin mengadakan pertemuan bersama ahli-ahli yang dilantik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau projek pembinaan semula rumah mangsa insiden terbabit di Kampung Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Menurut Amirudin, jawatankuasa tersebut dianggotai pakar dalam pelbagai bidang termasuk cerun, kebakaran, paip, minyak dan gas serta akademik bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti laporan teknikal agensi.
Sebelum ini, Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum JKKP, Husdin Che Amat memaklumkan keadaan tanah di bawah paip yang lemah dan tidak menyokong struktur dikenal pasti sebagai punca utama kebakaran.
Beliau menegaskan insiden itu berpunca daripada faktor geoteknikal, bukannya kecuaian teknikal atau pelanggaran garis panduan pembinaan.