KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Festival HalalVibe Selangor by SELHAC yang menghimpunkan lebih 300 usahawan bakal menjadi platform memperkukuh ekosistem halal sebagai agenda utama ekonomi negeri.
EXCO industri halal berkata program julung kali bermula 27 hingga 30 November itu membuktikan komitmen dan sokongan pentadbiran dalam usaha membantu produk tempatan menembusi pasaran global.
Jelas Dr Mohammad Fahmi Ngah, program berlangsung di Dataran Karnival Stadium Shah Alam itu bukan sekadar menjual produk makanan sebaliknya turut mengetengahkan segmen fesyen, kosmetik, logistik, pelancongan, pendidikan dan seni budaya.

“Ini inisiatif baharu yang diperkenalkan bagi memperkasa industri halal. Setakat ini lebih 250 usahawan sudah mendaftar merangkumi pelbagai produk. Bukan hanya makanan dan kebanyakan usahawan sudah memiliki sijil halal.
“Ini menjadi ruang yang sangat baik untuk membantu usahawan mengembangkan produk dan juga menunjukkan kesegaran industri halal Selangor. Saya rasa para usahawan memerlukan program seperti ini untuk mempromosikan produk mereka,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis pra-pelancaran festival berkenaan yang berlangsung di Pavilion Selangor sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025 hari ini.
Mohamad Fahmi berkata festival halal berkenaan tidak tertumpu kenapa jualan semata namun turut membuka kaunter perkhidmatan agensi kerajaan serta sesi pendidikan pensijilan.
Program berkenaan juga turut menganjurkan program yang sesuai dengan masyarakat antaranya Fun Run 5 kilometer, sukan rakyat, pertandingan kucing comel, mini zoo, perpustakaan bergerak serta persembahan artis tanah air.