Ibadah korban Selangor kekal SOP sedia ada, garis panduan JAIS disifatkan teliti

1 Jun 2026, 12:00 PM
Ibadah korban Selangor kekal SOP sedia ada, garis panduan JAIS disifatkan teliti
Ibadah korban Selangor kekal SOP sedia ada, garis panduan JAIS disifatkan teliti
Ibadah korban Selangor kekal SOP sedia ada, garis panduan JAIS disifatkan teliti
Ibadah korban Selangor kekal SOP sedia ada, garis panduan JAIS disifatkan teliti
Ibadah korban Selangor kekal SOP sedia ada, garis panduan JAIS disifatkan teliti

SHAH ALAM, 1 JUN: Kerajaan Negeri tidak melihat keperluan untuk mengubah prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pelaksanaan ibadah korban di Selangor susulan insiden kematian yang berlaku ketika pelaksanaan ibadah itu di Johor.

EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempunyai garis panduan yang sangat teliti bagi memastikan ibadah korban dilaksanakan secara selamat, teratur dan mematuhi syarat ditetapkan.

Menurutnya, ketelitian garis panduan itu menyebabkan terdapat masjid di negeri ini memilih untuk tidak melaksanakan proses penyembelihan sekiranya tidak mampu memenuhi syarat serta keperluan yang ditetapkan pihak berkuasa agama.

"Isu pelaksanaan ibadah korban ini berada di bawah bidang kuasa JAIS dan memang terdapat garis panduan yang jelas untuk melaksanakan ibadah korban di kawasan masjid.

"Malah, ada masjid yang tidak melaksanakan proses penyembelihan atau melapah kerana kekurangan tenaga kerja atau faktor kesesuaian lokasi.

“Masjid berkenaan hanya menerima daging korban yang telah siap dilapah, manakala proses penyembelihan dan melapah dilakukan di tempat lain," katanya kepada Media Selangor.

EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah pada Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) 2026 sempena Hari Guru Kebangsaan di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Mei 2026. Foto JAIS

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Selangor akan menilai semula SOP ibadah korban susulan insiden maut ketika pelaksanaan ibadah korban di Johor.

Mengulas lanjut, Dr Mohammad Fahmi berkata setakat ini JAIS tidak membangkitkan sebarang keperluan untuk menilai semula garis panduan sedia ada kerana ia sudah mencukupi dan komprehensif.

"Mungkin yang berlaku di Johor itu perlu disiasat terlebih dahulu bagi mengenal pasti sama ada SOP yang ditetapkan di sana dipatuhi atau tidak sehingga mengakibatkan insiden berkenaan," katanya.

Antara syarat ditetapkan JAIS ialah jawatankuasa masjid tidak dibenarkan melaksanakan ibadah korban tanpa kebenaran bertulis daripada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).

Permohonan itu perlu disertakan dengan kertas cadangan yang mengandungi maklumat termasuk senarai petugas yang memenuhi syarat kelayakan, tarikh pelaksanaan, anggaran jumlah dan jenis haiwan korban.

Antara lain ialah lokasi penyembelihan, susun atur kawasan pelaksanaan, kaedah pengagihan daging korban serta langkah keselamatan yang akan diambil.

Selain itu, langkah keselamatan perlu dipastikan supaya hanya petugas dibenarkan berada di kawasan pelaksanaan ibadah korban.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.