HULU SELANGOR, 19 SEPT: Kerajaan Selangor bersedia memberikan sokongan pasca bencana kepada Sabah, namun memantau situasi sebelum menghantar sukarelawan dan bantuan lain yang diperlukan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara ini dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pengumuman bentuk bantuan akan diumum dalam tempoh terdekat.
“Kita sedang menunggu kerajaan persekutuan selesaikan dulu kerana pada waktu ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kebiasannya dilaksanakan badan beruniform dan pasukan autoriti.
“Kerajaan Negeri akan membantu mengikut keperluan, tetapi kos agak tinggi sebab memerlukan penerbangan untuk ke sana dan kita tidak boleh bawa jentera seperti pengalaman di negeri lain-lain.
"Tetapi kita akan cuba bantu dengan sukarelawan serta sokongan yang mampu dilaksanakan,” katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan bayaran peringkat akhir kepada bekas peneroka Felda Sungai Buaya di Pekarangan Pejabat Operasi di MJFD Berhad di sini, hari ini.

Amirudin menambah bantuan kewangan akan disalurkan melalui Tabung Selangor Bangkit yang dilancarkan sejak akhir 2021 untuk membantu mangsa bencana hasil sumbangan pelbagai pihak.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, seramai 3,325 orang daripada 964 keluarga ditempatkan di 27 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Membakut, Penampang, Papar, Putatan dan Sipitang, serta satu pusat pemindahan kekal di Beaufort pada petang semalam.

Bencana tanah runtuh di Sabah telah meragut 13 nyawa manakala banjir mengorbankan seorang mangsa setakat ini.
Isnin lepas, Perdana Menteri meluluskan peruntukan segera RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi membantu mangsa terjejas banjir di negeri berkenaan.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, jumlah itu adalah tambahan kepada RM11 juta yang telah disalurkan melalui kerajaan negeri bagi tujuan pembaikan segera kemudahan asas di kawasan terlibat.