ad

Kasih sayang, layanan bermaruah di rumah jagaan warga emas wanita

19 Sep 2025, 2:32 AM
Kasih sayang, layanan bermaruah di rumah jagaan warga emas wanita
Kasih sayang, layanan bermaruah di rumah jagaan warga emas wanita
Kasih sayang, layanan bermaruah di rumah jagaan warga emas wanita
Kasih sayang, layanan bermaruah di rumah jagaan warga emas wanita
Kasih sayang, layanan bermaruah di rumah jagaan warga emas wanita

Di rumah dua tingkat yang tenang di Taman Sri Watan, Ampang, suasana damai dan penuh ketenteraman menyambut setiap derap langkah.

Kehadiran pengunjung juga disambut senyuman manis dan berseri penghuni warga emas wanita meskipun usia meniti senja.

Itulah Pusat Jagaan Sri Mesra, bukan sekadar rumah tetapi ruang penuh kasih dan martabat yang diasaskan Faezah Ali, 47, demi memulih dan menyantuni insan istimewa sepenuh jiwa.

Penghuni di Pusat Jagaan Sri Mesra (Mesra Home), Ampang Jaya pada 28 Ogos 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Penjaga nenek

Keperibadian penyayang dan kecintaannya terhadap warga emas mendorong Faezah menubuhkan pusat jagaan impiannya sejak 15 tahun lalu.

Ia menjadi ruang selamat untuk mereka menerima kasih sayang tulus dan layanan bermaruah.

Kini, pusat jagaan itu menjadi rumah kepada 23 penghuni dengan majoritinya orang kurang upaya (OKU) pekak, buta dan bisu serta mereka yang mengalami skizofrenia, bipolar, kemurungan dan demensia.

“Cita-cita saya memang untuk membuka pusat jagaan warga emas swasta. Namun, dengan izin Allah SWT yang Maha Mengetahui apa yang terbaik, alhamdulillah kini saya berjaya merealisasikannya sebagai badan bukan kerajaan (NGO).

“Walaupun penghuninya dalam kalangan asnaf, OKU dan pesakit mental tetapi mereka terdiri daripada individu yang masih berdikari dan bukan terlantar,” katanya kepada Media Selangor.

Kebolehan penghuni masih boleh membaca buku bahasa inggeris tulisan Faezah Ali dengan jelas dan lancar tanpa menggunakan kaca mata ketika tinjauan Media Selangor di Pusat Jagaan Sri Mesra (Mesra Home), Ampang Jaya pada 28 Ogos 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Penjagaan berasas empat asas hidup

Bagi Faezah, tugas sebagai penjaga tidak hanya tertumpu pada aspek rawatan dan kebajikan harian kerana empat aspek penting - fizikal, psikologikal, kewangan dan spiritual turut ditekankan.

Menurut beliau, prinsip tersebut menjadi asas kepada segala rutin, pendekatan dan layanan seperti makanan disediakan secara teliti selari dengan keperluan kesihatan warga emas.

“Alhamdulillah, dengan latar belakang saya dalam bidang kejururawatan sebelum mengusahakan pusat jagaan ini menjadikan saya mampu merawat penghuni tanpa perlu bergantung kepada rawatan aktif hospital.

“54 penghuni yang telah pergi sebelum ini, semuanya dalam jagaan kami dan tiada rawatan agresif hanya kasih sayang dan penjagaan yang sempurna hingga ke akhir hayat,” ujarnya tenang.

Pusat Jagaan Sri Mesra (Mesra Home), Ampang Jaya pada 28 Ogos 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Sekolah cinta dan perasaan

Lebih daripada pusat kebajikan, Faezah menganggap tempat itu sebagai ‘sekolah’ tentang cinta dan perasaan kerana beliau banyak belajar tentang sabar, adab, kawalan emosi dan yang paling utama ialah kasih sayang tanpa syarat.

Beliau menambah, kisah yang dilaluinya bersama para penghuni tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja, kerana setiap daripadanya diabadikan dalam bentuk penulisan buku yang kini menjadi sumber utama untuk menampung kos pusat jagaan.

“Setiap penghuni ada kisahnya. Mereka bukan beban tetapi mereka ialah guru kehidupan saya. Kisah-kisah itu saya abadikan dalam buku Cerita Kita: Aku Penjaga Nenek, Bisikan Hati: Aku Penjaga Nenek dan Coretan Kata.

Pengurus Pusat Jagaan Sri Mesra (Mesra Home) Faezah Ali menunjukan buku-buku tulisan beliau yang menjadi sumber utama untuk pusat jagaan ketika tinjauan Media Selangor di Pusat Jagaan Sri Mesra (Mesra Home), Ampang Jaya pada 28 Ogos 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Menulis buku ini bukan sahaja terapi, tetapi juga satu cara untuk menghargai mereka. Setiap kisah ada makna, ada nilai,” jelas Faezah.

Bagi wanita tabah ini, cabaran bukan alasan untuk berhenti sebaliknya, pemangkin untuk terus memperbaiki diri dan sistem jagaan. Tiada yang dianggap negatif, kerana setiap kesukaran membawa ruang untuk perubahan yang lebih baik.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.