ad

Selangor terus perkukuh infrastruktur kesihatan dengan hospital kedua Selgate di Sepang

19 Sep 2025, 12:39 AM
Selangor terus perkukuh infrastruktur kesihatan dengan hospital kedua Selgate di Sepang
Selangor terus perkukuh infrastruktur kesihatan dengan hospital kedua Selgate di Sepang
Selangor terus perkukuh infrastruktur kesihatan dengan hospital kedua Selgate di Sepang
Selangor terus perkukuh infrastruktur kesihatan dengan hospital kedua Selgate di Sepang

SEPANG, 18 Sept — Selepas kejayaan Hospital Pakar Selgate Rawang, rakyat Sepang bakal menikmati kemudahan hospital milik penuh Kerajaan Negeri dengan termeterainya usahasama strategik antara Selgate dan Paragon Globe.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, pembinaan Hospital Pakar Selgate Sepang berkapasiti 121 katil menjadi kesinambungan usaha Selangor memperkukuh sistem kesihatan negeri secara menyeluruh.

“Perjalanan Kerajaan Negeri dalam membangunkan ekonomi jagaan bermula dengan Klinik Perubatan Am dan kini berkembang kepada 11 klinik, dua klinik pergigian, dua farmasi, satu makmal diagnostik serta pusat panggilan 24 jam.

“Selepas Hospital Selgate Rawang dengan 224 katil, kini hospital di Sepang menanti pentauliahan sebelum projek seterusnya di Setia Alam,” katanya dalam hantaran Facebook selepas menghadiri Majlis Penyerahan Hospital Pakar Selgate Sepang, semalam.

Amirudin turut menegaskan, pembangunan sektor kesihatan negeri bukan sahaja tertumpu pada fasiliti rawatan, malah mengangkat aspek kesihatan awam melalui program Iltizam Sihat Selangor (ISS) yang memberi penekanan kepada saringan kesihatan dan kesihatan mental.

“Selangor juga negeri pertama membangunkan Dasar Ekonomi Penjagaan atau Care Economy. Saya mahu hospital Selgate menjadi sebahagian komuniti dan kerangka kesihatan awam negeri, seiring aspirasi Malaysia Madani, selain membuka peluang pekerjaan profesional dalam sektor kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin menyifatkan hospital berkenaan sebagai pencapaian penting dalam memperkukuh akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti, khususnya di kawasan Sepang dan daerah berhampiran.

“Majlis ini menandakan peluasan rangkaian hospital pakar Selgate dalam memperkukuh akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti di Negeri Selangor, khususnya di kawasan Sepang dan daerah-daerah berdekatan.

“Inisiatif ini adalah langkah strategik bagi Selgate dalam meluaskan capaian perkhidmatan kesihatan moden, berpatutan dan mesra rakyat, seiring hasrat Kerajaan Negeri memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terjamin,” katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Selgate, Dato’ Noor Hisham Mohd Ghouth dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Paragon Globe Berhad, Dato’ Sri Edwin Tan Pei Seng.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.