RM1 bilion digital kesihatan bantu pendekkan masa menunggu pesakit

31 Ogos 2026, 1:00 PM
RM1 bilion digital kesihatan bantu pendekkan masa menunggu pesakit
RM1 bilion digital kesihatan bantu pendekkan masa menunggu pesakit

SHAH ALAM, 31 OGOS: Inisiatif kecekapan digital bagi sektor kesihatan awam yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, berupaya mempercepatkan proses menunggu di premis kesihatan kerajaan.

EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin berkata usaha itu disifatkan amat penting bagi mengurangkan kesesakan di klinik dan hospital awam yang berlaku di hampir kebanyakan tempat, khususnya di Selangor.

“Ia amat penting kerana peruntukan ini supaya kita dapat percepatkan pendigital kesihatan awam. Ini supaya kita dapat memendekkan masa menunggu dan membantu pesakit yang memerlukan terutamanya di bahagian kecemasan.

“Isu ini selalu dibangkitkan melalui maklum balas kita. Ini bererti perdana menteri tahu mengenai isu ini. Saya ucapkan terima kasih, dan saya harap peruntukan ini kita dapat mengubah dan memendekkan masa menunggu,” katanya kepada Media Selangor, hari ini.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-69, kerajaan mengumumkan enam ikhtiar segera pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.

Antara yang menjadi tumpuan adalah, peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam meliputi pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik dan ketersambungan Internet di 150 hospital serta lebih 2,000 klinik kesihatan awam.

Selain itu, kerajaan juga mengembalikan kelayakan asas BUDI95 daripada 200 kepada 300 liter sebulan, peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah bagi tahun 2027 akan ditingkatkan 50 peratus, daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion, program AI untuk Rakyat terbuka kepada anak muda Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun.

Kerajaan juga menaikkan ambang pengecualian e-Invois sekali lagi daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun, selain menambah kemudahan pembiayaan mikro RM1 bilion, serta memperkenalkan Geran Sejahtera Madani RM200 juta.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.