SHAH ALAM, 18 SEPT: Rakyat perlu bijak membezakan di antara keperluan dan kehendak demi mengelak terbeban dengan perbelanjaan tinggi serta masalah kewangan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata aspek ini merupakan cabaran besar namun wajar dititikberatkan memandangkan negara ini mengamalkan pasaran bebas.
Justeru beliau mahu setiap rakyat mempunyai pengetahuan undang-undang kewangan, cara berbelanja selain menyenaikan keperluan bagi memastikan perbelanjaan dan pengurusan wang selamat.

"Kita dalam negara yang beri ruang bebas kepada pasaran. Semakin banyak perbelanjaan, pembelian barangan dan perkhidmatan ia akan gerakkan ekonomi dalam lokaliti itu. Ini sebenarnya beri garis kepada kita untuk ada kawalan kendiri.
“Kerajaan kita tak tentukan pasaran seperti aliran komunis atau sosialis. Ia beri ruang sangat besar kepada pengguna, beli peluang untuk nikmati barang lebih bebas.
Di sini kita perlukan rakyat dan masyarakat yang berpengetahuan, bersama-sama bertanggungjawab dengan diri sendiri. Kita tidak mahu hadkan perbelanjaan rakyat dan mahu bebas berbelanja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Literasi Kewangan Kepada Penjawat Awam Selangor anjuran Jabatan Insolvensi Negeri. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Sri Azalina Othman Said.
Dalam majlis berkenaan, seramai 400 kakitangan menyertainya termasuk pegawai persekutuan, kerajaan negeri serta agensi swasta dan badan berkanun. Semua mereka diberi pendedahan berhubung kepentingan mengurus kewangan.