ad

Selangor sasar kejuaraan berganda Kejohanan Ragbi MSSM 2025

18 Sep 2025, 12:30 AM
Selangor sasar kejuaraan berganda Kejohanan Ragbi MSSM 2025

SHAH ALAM, 18 SEPT: Selangor menyasarkan kejuaran berganda Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM 2025) selepas skuad bawah 12 tahun mara ke perlawanan akhir, hari ini.

Pasukan bawah 12 tahun Majlis Sukan Sekolah Selangor (MSS Selangor) melangkah ke perlawanan penentuan juara selepas mengekalkan rekod tanpa kalah di peringkat kumpulan, sekali gus berpeluang mempertahankan kejuaraan edisi lalu.

Ketua jurulatihnya, Saharudin Mohd Hassim berkata hanya seorang pemain dikekalkan daripada edisi sebelumnya, manakala selebihnya adalah muka baharu hasil program pembangunan sekolah di seluruh negeri. Namun beliau optimis setiap pemainnya mampu untuk memberi fokus sepenuhnya pada perlawanan akhir nanti.

"Perlawanan ini taruhan besar buat seluruh pasukan kerana hampir semua pemain pertama kali beraksi di pentas kebangsaan.

"Kedah sememangnya pasukan pilihan pada edisi kali ini dengan momentum cemerlang. Saya menjangkakan satu perlawanan sengit untuk kami pertahankan kejuaraan ini," katanya yang juga Guru Besar SK Seri Utama, Sabak Bernam.

 Ketua jurulatih bawah 12 tahun MSS Selangor Saharudin Mohd Hassim, yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Utama, Sabak Bernam.

Saharudin turut menjangkakan saingan sengit menentang Kedah yang konsisten menundukkan lawan dengan jumlah mata besar dalam setiap perlawanan.

Dalam kategori bawah 18 tahun, MSS Selangor terpaksa akur apabila tewas 25-17 kepada MSS Kedah di separuh akhir, sekali gus menutup peluang pasukan itu untuk melakar kejuaraan berganda.

Final bawah 12 tahun antara MSS Selangor dan MSS Kedah dijadual berlangsung pada jam 9.30 pagi Khamis ini di Padang Majlis Bandaraya Seremban, manakala aksi penentuan akhir bawah 18 tahun akan berlangsung di Padang Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar pada jam 4.00 petang hari sama.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.