ad

Selangor rancang perkenal bola pikel di sekolah tahun depan

17 Okt 2025, 2:03 PM
Selangor rancang perkenal bola pikel di sekolah tahun depan
Selangor rancang perkenal bola pikel di sekolah tahun depan
Selangor rancang perkenal bola pikel di sekolah tahun depan
Selangor rancang perkenal bola pikel di sekolah tahun depan
Selangor rancang perkenal bola pikel di sekolah tahun depan

SHAH ALAM, 17 OKT: Permainan bola pikel bakal diperkenalkan di sekolah-sekolah Selangor mulai tahun depan bagi memberi pengiktirafan sewajarnya kepada sukan baharu itu serta menggilap bakat muda di negeri ini.

EXCO Sukan, Mohd Najwan Halimi berkata pelaksanaan secara berstruktur itu akan menjadi sebahagian komitmen Kerajaan Negeri memperkukuh pembangunan sukan dan menggalakkan penyertaan belia dalam aktiviti sihat.

“Bermula tahun depan, insya-Allah kita akan laksanakan program secara berstruktur di sekolah-sekolah seluruh Selangor. Guru akan didedahkan kepada aspek kejurulatihan, manakala murid-murid diperkenalkan kepada asas permainan ini.

"Berbeza dengan sukan seperti bola sepak, badminton, hoki atau ping pong yang diiktiraf bawah Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), bola pikel masih belum disenaraikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Ekspo Industri Sukan Asean (ASIE) 2025 anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Pusat Konvensyen Setia City, di sini hari ini.

Mohd Najwan berkata, Kerajaan Negeri turut berbincang dengan KBS bagi memudah cara usaha pengiktirafan sukan itu sebagai salah satu acara rasmi MSSM.

“Saya sudah berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh supaya kementerian dapat memudah cara usaha menjadikan bola pikel antara sukan dimasukkan dalam silibus MSSM,” katanya.

Sementara itu, Hannah menjelaskan terdapat beberapa syarat perlu dipenuhi sebelum sesuatu sukan boleh diperkenalkan di peringkat sekolah.

“Oleh sebab itu, Persatuan Bola Pikel Malaysia masih mempunyai banyak kerja perlu dilakukan sebelum sukan ini dibawa masuk ke sekolah. Namun, saya lihat pertumbuhannya sangat organik.

"Kerajaan tidak perlu membina infrastruktur baharu kerana pihak swasta sudah mengusahakannya. Banyak kemudahan sudah tersedia di pusat beli-belah dan kawasan kejiranan," katanya.