ad

Tragedi tanah runtuh: Mayat kanak-kanak 10 tahun ditemui selepas lebih 10 jam operasi SAR

16 Sep 2025, 1:57 AM
Tragedi tanah runtuh: Mayat kanak-kanak 10 tahun ditemui selepas lebih 10 jam operasi SAR

KOTA KINABALU, 16 SEPT: Setelah lebih 10 jam operasi mencari dan menyelamat diaktifkan, mangsa terakhir yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Marahang Tuntul, Papar akhirnya ditemukan pada 8.45 malam, sebelum operasi tamat pada 2.05 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah Mohd Pisar Aziz berkata mangsa, iaitu kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dalam kejadian pada 9.20 pagi semalam, tiga mangsa terdiri ibu dan anak-anaknya dilaporkan tertimbus.

Mangsa pertama, iaitu ibu berusia 34 tahun itu ditemukan pada 4.20 petang, manakala anak lelakinya berusia enam tahun dijumpai pada 4.25 petang.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tanah runtuh melibatkan sebuah rumah pada 9.20 pagi, sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat Papar tiba di lokasi kejadian pada 9.34 pagi.

“Mangsa telah dikeluarkan oleh pasukan bomba yang turut dibantu oleh pasukan penyelamat lain.

“Semua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan dan mayat diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penemuan kanak-kanak itu menjadikan angka yang terkorban akibat tanah runtuh yang melanda Sabah sejak Jumaat lepas sebanyak 13 orang.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.