ad

Tujuh termasuk empat kanak-kanak maut tertimbus tanah runtuh di Inanam

15 Sep 2025, 10:35 AM
Tujuh termasuk empat kanak-kanak maut tertimbus tanah runtuh di Inanam
Tujuh termasuk empat kanak-kanak maut tertimbus tanah runtuh di Inanam

INANAM, 15 SEPT: Tujuh orang termasuk empat kanak-kanak disahkan maut selepas tertimbus tanah runtuh di Kampung Cenderakasih, Kolombong di sini dalam kejadian yang berlaku pada 9.15 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata mangsa kanak-kanak terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan berumur antara dua hingga sembilan tahun.

Beliau berkata tiga lagi mangsa terdiri dua wanita dan seorang lelaki berumur 25 hingga 50 tahun, manakala empat lelaki terselamat dalam kejadian tersebut.

“Semua mayat mangsa ditemukan antara 12.30 tengah hari hingga yang terakhir pada 3.45 petang, sekali gus operasi mencari dan menyelamat ditamatkan.

“Kesemua mangsa tinggal dalam sebuah rumah yang dihuni sembilan orang manakala dua orang lagi yang juga ahli keluarga datang untuk menumpang tidur di rumah berkenaan. Seorang mangsa yang selamat mengalami patah kaki,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata semua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk tindakan lanjut.

Kasim berkata pasukan mencari dan menyelamat mengalami sedikit kesukaran untuk mengeluarkan mangsa kerana tertimbus sedalam antara 2 hingga 3 meter selain timbunan sampah sarap dan pokok tumbang.

“Kita terpaksa gunakan jengkaut untuk asingkan sampah di lokasi runtuhan mangsa dan menggunakan tenaga manusia untuk mengeluarkan mangsa yang tertimbus,” katanya.

Beliau berkata kawasan kejadian adalah kawasan persendirian dan arahan telah dikeluarkan agar mereka yang tinggal di kawasan itu supaya berpindah bagi mengelak kejadian tidak diingini berulang.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.