SHAH ALAM, 15 SEPT: Sejumlah RM10 juta diperuntukkan bagi kerja mendalam dan pelebaran Sungai Langat di Batu 10 dan Batu 16, Hulu Langat sebagai langkah segera mengurangkan risiko banjir di kawasan titik panas.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua Datuk Johan Abdul Aziz berkata, projek itu sudah diluluskan Kerajaan Negeri dan kini dalam proses laporan perunding sebelum pelaksanaan.
"Langkah ini merupakan tindakan jangka pendek, sementara menunggu laporan menyeluruh projek tebatan banjir Sungai Langat bernilai RM512 juta di bawah Kerajaan Persekutuan disiapkan," katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata, keutamaan diberi kepada kerja mendalam dan pelebaran kerana Sungai Langat menerima aliran dari banyak cabang sungai termasuk Sungai Gabai, Sungai Congkak dan Sungai Lompong.
"Bila kapasiti meningkat, kawasan sekitar mudah terdedah banjir. Sebab itu usaha penyelenggaraan sungai ini sangat penting," jelasnya.
Untuk rekod, Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Langat Fasa 2 bernilai RM512 juta merangkumi kerja jangka panjang di sepanjang jajaran sungai berkenaan, sementara Kerajaan Negeri menumpukan tindakan segera di lokasi kritikal bagi melindungi penduduk setempat.
Projek berkenaan melibatkan Sungai Langat dalam Daerah Hulu Langat bermula dari Kampung Sungai Lui hingga ke Taman Sri Nanding, dan dijangka mampu mengurangkan risiko banjir sehingga tahap Purata Ulangan Tahunan (ARI) 200 tahun dengan mengambil pendekatan penyelesaian menyeluruh bagi keseluruhan Lembangan Sungai Langat.