SHAH ALAM, 15 SEPT: Selangor menumpukan usaha menaik taraf dan membaiki kemudahan di lokasi sedia ada mengikut piawaian antarabangsa bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Dato’ Menteri Besar berkata ia bagi memenuhi kriteria ditetapkan persatuan sukan, berbanding membina gelanggang baharu sebagai persediaan menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu.
“Kita belum bersedia untuk menganjurkan SUKMA 2026 di Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA). Sekarang ini tumpuan diberikan bagi memastikan semua lokasi memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Semua ini akan diberikan perhatian khusus pada waktu ini, supaya kita tidak berdepan masalah kualiti padang,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam wawancara khas bersama Media Selangor.
Pada masa sama, beliau menyatakan komitmen Sekretariat SUKMA untuk memastikan kejayaan penganjuran di sebalik cabaran besar yang perlu dihadapi antaranya ketiadaan gelanggang utama.
“Ketiadaan gelanggang utama cabaran paling besar selain menguruskan acara pembukaan dan penutup, namun sekretariat akan pastikan kejayaan penganjuran yang terkesan kepada negeri,” katanya.
Sebelum ini, Amirudin memaklumkan kerja menaik taraf beberapa kemudahan sukan termasuk stadium dan Pusat Akuatik Darul Ehsan bagi berdepan SUKMA dijangka siap sepenuhnya Mac tahun depan.
SUKMA Selangor 2026 akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA dari 5 hingga 14 September, dengan acara pembukaan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Lebih 10,000 atlet dan pegawai sukan dari 15 negeri, termasuk kontinjen jemputan Brunei Darussalam, dijangka menyertai temasya yang diadakan di sembilan daerah.
Sebanyak 28 acara sukan wajib dan lima sukan tambahan bakal dipertandingkan dengan upacara penutup akan diadakan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
