ad

Taman reka bentuk IC kedua di Cyberjaya dijangka dilancar November

15 Sep 2025, 1:11 AM
Taman reka bentuk IC kedua di Cyberjaya dijangka dilancar November

SUBANG JAYA, 15 SEPT: Usaha Selangor memperkukuh ekosistem industri semikonduktor terus menunjukkan hasil positif dengan pelancaran taman reka bentuk litar bersepadu (IC) kedua di Cyberjaya dijadual berlangsung November ini.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan taman berkenaan yang bakal menempatkan 12 syarikat dalam sektor berteknologi tinggi tersebut.

“Untuk yang kedua di Cyberjaya, saya jangka 12 syarikat juga terlibat dengan industri ini dalam memenuhi permintaan industri semikonduktor yang semakin meningkat,” katanya ketika ditemui pada Festival Remaja Kinrara 2025, malam tadi.

EXCO Pelaburan, Ng Sze Han bercakap kepada media selepas Festival Remaja Kinrara 2025 di Taman Rekreasi Wawasan, Subang Jaya pada 14 September 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Menurut beliau, Selangor kini menyaksikan penglibatan aktif syarikat tempatan dan luar negara termasuk dari China, Australia dan Perancis, yang membuktikan sektor ini semakin berkembang.

“Fokus Kerajaan Negeri adalah membina satu ekosistem lebih sempurna bagi industri ini kerana ia akan memberi banyak manfaat kepada penggiat industri,” jelasnya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri mengatur pelbagai pertemuan antara syarikat reka bentuk IC dan penyedia pusat data bagi memaksimumkan keupayaan masing-masing serta memperluas jaringan kerjasama.

Tahun lalu, Selangor menandatangani memorandum persefahaman dengan empat syarikat utama termasuk ARM Ltd dari United Kingdom dan Shenzhen Semiconductor Industry Association dari China bagi memperkasa hab semikonduktor negara.

Kerjasama strategik itu turut melibatkan Phison Malaysia dan SkyeChip untuk membangunkan Hab Selangor di Puchong, iaitu pusat khusus bagi reka bentuk IC dan pemacu semikonduktor.

Hab tersebut bakal dikendalikan oleh Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) bermula Jun tahun hadapan dengan jangkaan pulangan ekonomi sehingga RM1 bilion.

Ia juga dijangka membuka banyak peluang kerjaya berkemahiran tinggi dengan tawaran gaji sehingga RM7,000 sebulan, sekali gus memberi impak besar kepada pembangunan bakat tempatan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.