Lima tahun menyewa, pasangan muda akhirnya miliki Rumah SelangorKu

21 Jul 2026, 1:00 AM
Lima tahun menyewa, pasangan muda akhirnya miliki Rumah SelangorKu
Lima tahun menyewa, pasangan muda akhirnya miliki Rumah SelangorKu

SHAH ALAM, 21 Julai: Sejak mendirikan rumah tangga pada tahun 2020, Tuan Rosma Elyyana Tuan Rasid dan suami hidup menyewa kira-kira lima tahun lamanya.

Seperti kebanyakan pasangan lain, mereka juga ada menyimpan impian untuk memiliki rumah sendiri. Kerap juga mereka membayangkan rumah serba indah tersergam di lokasi strategik.

Namun, itu agak sukar berdasarkan kemampuan kewangan mereka. Pun begitu, mereka tidak mudah putus asa. Suami-isteri itu berpegang kepada prinsip berbelanja mengikut kemampuan.

Tidak bermewah-mewah, jauh sekali membazir atau bergaya tidak tentu hala. Keinginan hidup berkeluarga di rumah sendiri mendorong mereka kerap meronda-ronda sekitar bandar raya Shah Alam, meninjau-ninjau Kawasan perumahan yang mungkin sesuai buat mereka.

Suatu hari, kira-kira dua tahun selepas perkahwinan, suami isteri itu tertarik dengan iklan Rumah SelangorKu (RSKU) Idaman yang terpampang di satu papan tanda.

Selepas menimbang-nimbang aspek kewangan dan menghitung komitmen bulanan, mereka memutuskan untuk membeli rumah tersebut. Harganya sekitar RM230,000. Tidak terlalu mahal, tidak juga terlalu murah buat pasangan itu.

“Kami kira komitmen yang ada dan rasa rumah ini masih dalam kemampuan. Alhamdulillah, proses pinjaman perumahan berjalan lancer tanpa sebarang masalah,” katanya kepada Media Selangor.

Selepas lima tahun menyewa, Tuan Rosma Elyyana Tuan Rasid berjaya memiliki Rumah SelangorKu Idaman di Shah Alam hasil perancangan kewangan berhemah. FOTO IJLAH MUNIRAH/ MEDIA SELANGOR

Faktor lokasi strategik antara sebab utama mereka memilih projek berkenaan memandangkan beliau dan suami bekerja di sekitar Shah Alam.

Kehadiran cahaya mata yang kini berusia lima tahun juga antara dorongan kuat untuk mereka berpindah dan bertukar status, daripada penyewa kepada pemilik rumah.

“Selepas dapat anak, kami rasa sudah tiba masanya untuk memiliki rumah sendiri. Sebelum ini, kita menyewa selama lima tahun,” kata Tuan Rosma Elyyana.

Justeru, beliau menggalakkan golongan belia untuk meneroka peluang memiliki rumah melalui RSKU. Apatah lagi, proses permohonannya mudah dan mesra buat pembeli rumah pertama.

“Inisiatif Kerajaan Selangor ini bagus kerana beri peluang kepada orang muda yang rasa tidak mampu membeli rumah sedangkan sebenarnya mereka boleh memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Beliau yang bekerja sebuah syarikat swasta di Shah Alam juga menasihati anak muda yang masih menyewa supaya mengawal kewangan dan tidak terpengaruh dengan gaya semasa.

“Kita kena tahu kemampuan dan cari rumah yang mampu dibayar. Tidak perlu ikut gaya atau memaksa diri membeli rumah di luar kemampuan. Cukup untuk berteduh sahaja.

“Kadang-kadang ramai merasakan mereka tidak mampu membeli rumah, tetapi sebenarnya boleh jika membuat perancangan yang betul,” katanya lagi.

Beliau juga menasihati anak muda yang masih teragak-agak atau berkira-kira untuk memiliki kediaman supaya lebih proaktif termasuk melayari laman web RSKU dan meneliti inisiatif yang disediakan.

“Banyak kategori rumah disediakan dengan nilai yang berbeza-beza, kita boleh pilih ikut kemampuan. Bagi saya penting ada rumah sendiri berbanding bayar sewa. Sekurang-kurangnya kita ada aset hari tua,” katanya.

Fakta Rumah Selangorku. GRAFIK AZWA MALEK

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.