ad
BERITA UTAMA

MPKS komited selesai isu pemilikan strata, sedia 425 skim

20 Jun 2025, 9:00 AM
MPKS komited selesai isu pemilikan strata, sedia 425 skim

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) komited menyelesaikan isu pemilikan strata di kawasan pentadbirannya menerusi 425 skim yang telah diperkenalkan.

Ketua unit pesuruhjaya pembangunan MPKS berkata, sejak 2015, sebanyak 25,000 petak di Kuala Selangor berdepan pelbagai isu berkaitan hak milik strata.

“Setiap tahun, MPKS menganjurkan enam program seperti program komuniti, bengkel, persidangan dan sesi perundangan untuk memberi pendedahan kepada pemilik berkaitan isu strata.

“Setiap kawasan strata mempunyai isu yang berbeza namun untuk hak milik melibatkan rumah kos rendah tidak terlalu banyak,” kata Muhammad Zul Fiqah Omar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Persidangan Pengurusan Strata Kelas Pertama anjuran pihak berkuasa tempatan itu Parkroyal Collection di sini, semalam.

Menurutnya, pihak MPKS turut giat mempromosikan insentif strata yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan kepada komuniti dan pemain industri.

“Kerajaan Negeri menyediakan skim dana sejumlah RM10 juta untuk penyelesaian pemilikan hak strata di kalangan penduduk.

“Kerajaan Persekutuan pula melalui Tabung Penyelenggaran Satu Malaysia melibatkan skim strata kos rendah dan medium untuk kerja membaiki, mengecat dan menukar pagar di kediaman,” katanya lagi.

Pada 1 Jun, Dato’ Menteri Besar melancarkan Dana Strata Selangor berjumlah RM10 juta yang bertujuan menyelesaikan isu pembangunan tanpa hak milik strata khususnya melibatkan pangsapuri lama.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan tersebut membuktikan komitmen pentadbiran negeri untuk menyelesaikan isu hak milik penghuni yang telah berlarutan puluhan tahun.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.