ad

Mayat ditemukan dalam bungkusan di tepi sungai dipercayai dibunuh

13 Sep 2025, 1:03 PM
Mayat ditemukan dalam bungkusan di tepi sungai dipercayai dibunuh

IPOH, 13 SEPT: Polis mengklasifikasikan penemuan mayat dalam bungkusan di tepi sungai berhampiran tanah perkuburan Orang Asli di Kampung Kerawat, Simpang Pulai semalam, sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata hasil pemeriksaan forensik ke atas mayat itu mendapati, mangsa meninggal dunia disyaki dipukul dengan objek tumpul.

“Siasatan mengesahkan mangsa seorang lelaki dewasa, namun butiran identitinya belum dapat dipastikan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Abang Zainal berkata setakat ini, belum ada tangkapan dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kerana membunuh.

Semalam, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun menemukan satu bungkusan disyaki mengandungi mayat di kawasan sungai berhampiran Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Kerawat, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, di sini.

Siasatan awal polis di tempat kejadian bersama Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak mengesahkan terdapat satu bungkusan tersangkut pada batang pokok di tepi sungai, disyaki mengandungi mayat dan identiti mangsa masih belum diketahui.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.