KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Keretapi Sarong bakal dimasukkan dalam kalendar pelancongan Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025), kata EXCO pelancongan.
Menurut Dato’ Ng Suee Lim, program yang dilaksana sejak 2012 itu mempunyai potensi besar kerana disertai ribuan peserta saban tahun terutama golongan muda.
“Walaupun ini pertama kali Selangor terlibat, namun kita nampak permulaan baik. Hebahan daripada anak muda yang merupakan pengguna tegar media sosial mampu memberi impak positif kepada sektor pelancongan negeri.

“Tahun depan pula Selangor bakal jadi tuan rumah SUKMA (Sukan Malaysia), jadi sangat penting untuk Kerajaan Negeri promosi sektor pelancongan,” katanya ketika ditemui dalam program Keretapi Sarong di sini hari ini.
Terdahulu Suee Lim dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling berkumpul bersama hampir 1,000 peserta Keretapi Sarong di Stesen Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Sri Damansara Sentral.
Sementara itu, pada acara sama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyediakan 62 jenis air balang secara percuma kepada peserta program bermula jam 12 tengah hari.
Ketua Seksyen Komunikasi Korporat Pengurusan Jenama Air Selangor, Muhamad Asyraf Ahmad Suhaibi berkata, jumlah air balang itu simbolik sambutan Hari Malaysia ke-62.
“Pengunjung boleh dapatkan air seperti teh ais, soya cincau, bandung. Semua ini antara minuman kegemaran rakyat Malaysia. Kita beri bermula tengah hari sehingga habis.
“Lebih menarik kali ini ada hadiah cabutan bertuah iaitu Vespa Primavera S150 bernilai RM20,000,” katanya.
