GOMBAK, 11 SEPT: Selangor FC menyerahkan sepenuhnya kepada Faisal Halim membuat keputusan sama ada mahu kekal diberi ruang untuk bertenang atau sedia beraksi untuk pasukan tersebut semula sejurus selepas kejohanan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Johan Kamal Hamidon berkata pihaknya bersama Ketua Jurulatih Katsuhito Kinoshi menyokong penuh sebarang keputusan yang dibuat pemain sayap berusia 27 tahun itu yang berdepan isu peribadi ketika bersama skuad Harimau Malaya.
“Kita akan bagi sokongan penuh. Saya percaya Kinoshi juga akan beri sokongan penuh. Jadi, apa saja keputusan Faisal Halim, kita akan sokong.
“Kita tahu beliau pemain profesional. Kita semua tahu bagaimana kuatnya beliau, berapa kali beliau jatuh dan bangkit kembali.

“Jadi, saya rasa beliau akan lalui perkara ini dengan baik. Keputusan sama ada Faisal ingin beraksi di perlawanan Piala FA (lawan Malaysian University) Sabtu ini, beliau akan tentukan sendiri,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani kerjasama strategik Selangor FC dan Al-Kauthar Eduqids Sdn.Bhd.
Ditanya mengenai keadaan Faisal, Johan percaya pemain yang lebih mesra dipanggil Mickey itu mampu menangani masalah peribadi secara profesional sekali gus tidak mengganggu momentum kerjayanya.
“Pihak pengurusan dan ketua jurulatih pasukan prihatin dengan situasi semasa Mickey, kami sentiasa berhubung dengan beliau dan bersedia memberi sokongan yang diperlukan.
“Beliau sangat sayang pada keluarganya tapi dalam masa sama profesional dalam kerjaya dan kelab akan beri sokongan penuh kepadanya, saya percaya beliau menghadapi semua situasi ini dengan kuat,” ujarnya.