ad
AGENDA

Selangor FC terus sokong Faisal Halim, harap terima keadilan sewajarnya

8 Mei 2025, 11:00 AM
Selangor FC terus sokong Faisal Halim, harap terima keadilan sewajarnya

SHAH ALAM, 8 MEI: Selangor FC (SFC) berharap pemain sayapnya Faisal Halim yang disimbah asid setahun lalu hingga mengalami lecur tahap empat mendapat keadilan sewajarnya.

Ia susulan perkembangan terbaharu dibuat peguamnya, Nik Zarith Nik Moustpha pagi tadi memaklumkan kes Faisal yang juga pemain kebangsaan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Ketua pegawai eksekutif SFC berkata pihaknya akan terus memberi sokongan penuh kepada pemain itu dan beliau dapat kembali ke prestasi terbaik demi kepentingan kelab dan pasukan kebangsaan.

“Kami tiada sebarang komen lanjut berhubung isu ini. Kami serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan seterusnya.

“Kami percaya peguam sudah memberikan penjelasan dan maklumat yang mencukupi dalam sidang media tersebut,” kata Johan Kamal Hamidon menerusi rakaman suara kepada pihak media hari ini.

Terdahulu Nik Zarith menjelaskan kes itu diklasifikasikan sebagai NFA selepas siasatan yang dijalankan polis tidak membuahkan sebarang hasil.

Pihaknya menerima surat berhubung perkara itu daripada Jabatan Peguam Negara pada 20 Februari.

"Surat itu bertarikh 18 Februari dan kita terima pada 20 Februari lalu. Surat itu menyatakan polis tidak dapat mengesan sebarang petunjuk yang dapat mengaitkan kes ini dengan mana-mana individu sebagai suspek," katanya.

Pada 5 Mei tahun lalu, penjaring gol terbaik Piala Asia 2023 itu dilaporkan mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di Kota Damansara.

Akibat kejadian itu, Faisal atau dikenali dengan panggilan Mickey mengalami lecur tahap empat namun kini semakin pulih malah sudah turun beraksi membantu Red Giant dalam beberapa perlawanan.

Susulan insiden itu, Dewan Negeri Selangor pada Julai 2024 meluluskan usul tergempar mengecam perbuatan ekstrem dan keganasan terhadap Faisal selepas dipersetujui wakil rakyat kerajaan dan pembangkang selain ia dibahaskan lima orang Ahli Dewan Negeri.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.