Faisal Halim mahu Selangor FC berjuang habis-habisan tewaskan Buriram

26 Mei 2026, 1:57 PM
Faisal Halim mahu Selangor FC berjuang habis-habisan tewaskan Buriram

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Kapten Selangor FC Faisal Halim menyeru rakan sepasukannya supaya tampil dengan mentaliti “tiada apa untuk rugi” menjelang aksi getir menentang Buriram United FC pada perlawanan akhir kedua Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Buriram, Thailand, esok.

Pemain sayap itu menegaskan skuad The Red Giants perlu turun ke padang dengan keyakinan penuh memandangkan aksi terakhir musim ini menjadi pentas terbaik buat pemain memberikan segala-galanya demi kelab.

“Bagi saya, kami sudah berada di pentas final. Kami tidak boleh datang ke sini, mengharungi perlawanan dan pulang begitu sahaja. Kami perlu berjuang hingga wisel penamat untuk merebut trofi ini serta memberikan tentangan terbaik kepada lawan,” katanya menerusi rakaman audio selepas sidang media praperlawanan, hari ini.

Selangor membawa misi sukar untuk memadam defisit satu gol selepas tewas 1-0 pada aksi final pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor, minggu leppas.

Faisal turut mengingatkan rakan sepasukan supaya mengekalkan tahap fokus tertinggi sepanjang perlawanan kerana sebarang kelalaian kecil atau kesilapan berulang mampu dihukum pasukan gergasi Thailand itu.

Sementara itu, ketua jurulatih Kim Pan Gon turut berkongsi keyakinan sama apabila percaya wakil Malaysia itu memiliki kemampuan taktikal untuk bangkit menewaskan Buriram di gelanggang lawan.

Pengendali dari Korea Selatan itu berkata pasukan telah melakukan penilaian menyeluruh terhadap aksi pertama bagi memperbaiki kelemahan selain merangka pendekatan baharu untuk memecahkan corak permainan Buriram.

Menurutnya memburu gol awal menjadi keutamaan kerana ia bukan sahaja mampu menyamakan agregat, malah memberi tekanan kepada pasukan tuan rumah untuk mengubah corak permainan mereka.

“Prestasi kami pada aksi pertama bukanlah 100 peratus kemampuan sebenar pasukan. Kami sudah banyak berbincang dan memperbaiki beberapa perkara, dan saya percaya pemain cukup yakin untuk mengubah keputusan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pan Gon tetap optimis meskipun kehilangan tonggak utama Noor Al-Rawabdeh dan Mohamad Abualnadi, yang dilaporkan sudah menyertai kem latihan skuad kebangsaan Jordan bagi menghadapi saingan kelayakan Piala Dunia.

Beliau menegaskan kekuatan Selangor tidak bergantung kepada individu tertentu, sebaliknya terletak pada kesatuan dan semangat berpasukan.

Katanya pemain yang bakal menggantikan tempat dua tonggak itu memiliki kualiti diperlukan untuk memastikan jentera pasukan terus berfungsi dengan baik dalam aksi yang dijangka berlangsung sengit.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.