PUTRAJAYA, 10 SEPT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ha ini menegaskan bahawa poster yang tular di media sosial memaparkan tarikh penting berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 adalah palsu dan tidak benar.
Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata sehingga kini, tiada pengumuman rasmi dibuat berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mahupun penetapan tarikh penting bagi PRN.
“SPR juga ingin menegaskan bahawa maklumat mengenai pilihan raya termasuk tarikh penting seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon dan hari mengundi hanya akan dikeluarkan melalui saluran rasmi SPR iaitu laman portal rasmi SPR, sidang media dan kenyataan media.
“Penyebaran maklumat palsu seumpama ini merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu didapati menyebar, berkongsi atau menerbitkan maklumat palsu di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang lain yang berkaitan.
“SPR menyeru orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terperdaya dengan sebarang maklumat tidak sahih. Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat tepat dan sahih hanya daripada saluran rasmi SPR,” katanya.
- BERNAMA