PASIR MAS, 10 SEPT: Dua bekas tentera mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menceroboh dan mencuri wang tunai berjumlah RM25 di sebuah sekolah di Jeli hujung bulan lepas.
Mohd Izaman Sazli Che Noordin, 40 dan Mohd. Zulkifli Mat Ghani, 41, didakwa bersama-sama menceroboh bilik koperasi sekolah berkenaan dan mencuri wang tunai RM15, kira-kira 1 pagi pada 31 Ogos lepas.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan pencerobohan di bilik guru Program Pendidikan Khas Integrasi di blok berasingan sekolah itu dan mencuri wang tunai RM10 pada tarikh dan masa yang sama.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Majistret Syed Farid Syed Ali menetapkan 21 Sept ini untuk sebutan semula kes bagi jatuh hukum, sementara kedua-dua tertuduh dibenarkan ikat jamin RM4,000 setiap seorang bagi setiap pertuduhan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Irfan Aizat Mohd Daud manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.