ad

Selangor-India teroka potensi kerjasama bidang semikonduktor, AI

7 Sep 2025, 8:00 AM
Selangor-India teroka potensi kerjasama bidang semikonduktor, AI

SHAH ALAM, 7 SEPT: Selangor meneroka potensi kerjasama dengan India terutama berkait bidang semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI), maklum EXCO pelaburan.

Menurut Ng Sze Han, dalam lawatan kerjanya ke India baru-baru ini, pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B.N. Reddy membincangkan mengenai potensi kerjasama antara kedua-dua negara.

Jelasnya, aspek yang akan diberi tumpuan termasuk pemerkasaan reka bentuk cip semikonduktor, inovasi teknologi, pembangunan bakat serta perkongsian antara industri dan akademia.

“Kedudukan strategik India dalam rantaian bekalan teknologi global membuka banyak peluang kerjasama, khususnya dalam memperkukuh jalinan antara Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) dan institut semikonduktor di India.

“Memandangkan perubahan berterusan dalam landskap geopolitik global, kita berdepan peluang unik untuk mempercepatkan kemajuan dengan memperkukuh kerjasama dalam sektor semikonduktor dan AI,” katanya menerusi Facebook.

Menurutnya, Selangor turut menyasarkan untuk meningkatkan daya saing serta ketahanan ekonomi, sekali gus mewujudkan manfaat bersama bagi kedua-dua pihak.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penekanan Kerajaan Negeri terhadap pembangunan reka bentuk litar bersepadu (IC) menjadi bukti kesungguhan Selangor untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat.

Katanya, tumpuan bukan sahaja diberikan kepada sektor semikonduktor, malah turut merangkumi e-dagang dan program pembangunan syarikat pemula melalui agensi Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.