ad

Tourism Selangor: Acara larian medan promosi destinasi pelancongan negeri

7 Sep 2025, 6:28 AM
Tourism Selangor: Acara larian medan promosi destinasi pelancongan negeri
Tourism Selangor: Acara larian medan promosi destinasi pelancongan negeri
Tourism Selangor: Acara larian medan promosi destinasi pelancongan negeri
Tourism Selangor: Acara larian medan promosi destinasi pelancongan negeri

SHAH ALAM, 7 SEPT: Acara larian di Selangor kini bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya platform berkesan mempromosikan destinasi pelancongan negeri melalui konsep pelancongan sukan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling berkata acara sebegini memberi nilai tambah kepada kempen Tahun Melawat Selangor dengan memperkenalkan pelbagai tarikan kepada peserta tempatan mahupun antarabangsa.

“Selangor mempunyai tarikan semula jadi, sejarah serta destinasi moden yang sesuai dijadikan lokasi penganjuran acara sukan. Melalui aktiviti ini, peserta bukan sahaja dapat beriadah, malah berpeluang meneroka keunikan negeri yang menjadi kebanggaan.

“Tourism Selangor juga sentiasa menggalakkan lebih banyak pihak tampil menganjurkan acara sebegini bagi memperluaskan capaian promosi selain mengisi kandungan kempen Tahun Melawat Selangor,” katanya ketika ditemui pada acara Alumni Dasar Pandang ke Timur (ALEPS) Ekiden Half Marathon 2025 (AEHM’25) di Dataran Kemerdekaan di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling (tengah) menyampaikan hadiah kepada peserta larian Aleps Ekiden di Dataran Shah Alam pada 7 September 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Tambahnya, dengan sokongan pelbagai pihak, acara larian diyakini mampu berkembang menjadi antara program tahunan utama yang menyokong agenda Tahun Melawat Selangor serta memperkukuh kedudukan negeri sebagai destinasi pilihan pelancongan sukan di Malaysia.

Sementara itu, Presiden ALEPS Isrami Ismail berkata, sambutan diterima amat menggalakkan, membuktikan masyarakat semakin menyukai aktiviti yang menggabungkan riadah dan gaya hidup sihat.

“Berbanding berlari secara individu, kami memperkenalkan konsep berpasukan bagi menjayakan larian separuh marathon. Tahun lalu, lima pelari satu pasukan menamatkan jarak 21 kilometer.

“Namun, selepas menerima maklum balas peserta yang mahukan lebih masa, tahun ini kami ubah format kepada empat pelari satu pasukan dengan mengekalkan jarak sama,” ujarnya.

Menurutnya, edisi kedua itu berjaya menarik 1,200 peserta termasuk 100 pelari dari Jepun, sekali gus mencerminkan minat tinggi terhadap penganjuran berkenaan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan (tiga, kiri) merasmikan larian Aleps Ekiden di Dataran Shah Alam pada 7 September 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Ia bukan sahaja aktiviti kesihatan, malah peluang untuk bersosial dan mengeratkan hubungan antara peserta. Selain penyertaan komuniti tempatan, acara ini turut disertai warga Jepun yang menetap di Malaysia serta pelari antarabangsa dari Jepun.

“Justeru, kami mensasarkan penyertaan tiga kali ganda bagi edisi akan datang. Kami amat menghargai sokongan Media Selangor selaku penaja emas yang memberi liputan meluas terhadap acara ini,” katanya.

Acara bermula seawal jam 5 pagi itu dirasmikan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan. Hadir sama Ahli Parlimen Batu Pahat Onn Abu Bakar selaku penaung AEHM’25 serta Timbalan Ketua Misi Kedutaan Jepun di Malaysia Nihei Daisuke.

Peserta pelbagai kategori larian Aleps Ekiden berlari sejauh lima kilometer di Dataran Shah Alam pada 7 September 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.