ad

Bekas Imam Besar Masjid Negeri dinobat Tokoh Maulidur Rasul Selangor 2025

5 Sep 2025, 6:42 AM
Bekas Imam Besar Masjid Negeri dinobat Tokoh Maulidur Rasul Selangor 2025

SHAH ALAM, 5 SEPT: Bekas Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Profesor Adjung Dr Syeikhul Maqari’ Othman Hamzah dinobat Tokoh Maulidur Rasul Selangor 1447H/2025M.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan anugerah berkenaan sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor 1447H/2025 di Masjid Negeri, di sini, hari ini.

Penyampaian anugerah kepada Othman, 60, turut disaksikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Penolong Pengarah Seksyen Majlis dan Keraian Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika mengumumkan perkara itu berkata setelah meneliti dan mempertimbangkan semua penglibatan serta sumbangan Othman kepada kemajuan dan syiar Islam di Selangor, Jawatankuasa Pemilihan mengesyorkan tokoh berkenaan dan telah diperkenankan Sultan Selangor.

Penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul kepada Profesor Adjung Dr Syeikhul Maqari’ Othman Hamzah bercakap keapda media pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Selangor di Dewan Syarahan & Muzakarah Islam, Masjid Negeri pada 05 September 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Menurut Muhammad Ashriq Masri antara sumbangan tokoh berkenaan termasuk terlibat secara langsung dalam membina kurikulum tahfiz Selangor, selain diberi kepercayaan menulis khutbah untuk bacaan seluruh khatib di Selangor.

“Sejak 2002, beliau adalah Ahli Jawatankuasa Panel Khutbah Negeri Selangor dan kini adalah Panel Penilaian Tauliah Mengajar Negeri Selangor. Kini beliau adalah ahli lembaga pengarah Akademi Literasi Al-Quran Selangor, selain dilantik menjadi ahli kepada jawatankuasa yang menasihati dan membantu Mais.

“Beliau juga adalah penulis prolifik yang telah menulis 80 karya ilmiah dalam bidang al-Quran, Qiraat, Hadis, Fiqh dan Maqasid Syariah termasuk Risalah Ulum al-Quran, Panduan Himpunan Qiraat Sepuluh, Hadis dan Kepentingan Sanad, Panduan Haji dan Umrah serta Maqasid Syar‘iyyah,” katanya.

Menurutnya, Othman yang juga penasihat agama di Puncak Niaga Holdings Sdn Bhd dan Pengetua di Maahad Tahfiz Ismail, Puncak Alam pernah menyandang jawatan sebagai Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pendidikan Islam Jais pada 2010 dan banyak membantu pembangunan kurikulum Pendidikan Islam di sekolah agama di Selangor.

Penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul kepada Profesor Adjung Dr Syeikhul Maqari’ Othman Hamzah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Selangor di Dewan Syarahan & Muzakarah Islam, Masjid Negeri pada 05 September 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Tokoh adalah antara tiga individu yang diiktiraf oleh Mais sebagai Syeikhul Maqari pada 1992 dan baru-baru ini, diaugerahkan gelaran sama oleh Kerajaan Negeri pada 28 Julai 2025,” katanya.

Sementara itu, Othman ketika ditemui menyifatkan penganugerahan itu sebagai penghargaan atas usaha berterusan beliau dalam memperkasakan syiar Islam terutama di Selangor.

“Kita beramal semata-mata kerana Allah SWT. Kita tidak ada minta apa-apa pun, cuma bila diberi penghargaan, rasa apa yang kita buat selama ini dihargai. Kalau tidak, rasa orang tak nampak kerja kita kan atau orang tak hargai tapi bila ada anugerah seperti ini, rupanya kerja-kerja kita selama ini dilihat dan dinilai juga.

“Menuntut ilmu ini sampai ke ke liang lahad. Itulah prinsip saya. Saya tidak akan berlalu satu hari pun, melainkan saya akan cari ilmu dan saya akan sampaikan,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.