ad
AGENDA

Ahli akademik UPM dinobat tokoh Maulidur Rasul Selangor

16 Sep 2024, 7:13 AM
Ahli akademik UPM dinobat tokoh Maulidur Rasul Selangor
Ahli akademik UPM dinobat tokoh Maulidur Rasul Selangor

SHAH ALAM, 16 SEPT: Ahli akademik Prof Madya Dr Abd Rauf Hassan dinobat tokoh Maulidur Rasul 1446 Hijrah Selangor sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri hari ini.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan anugerah berkenaan mewakili Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di masjid negeri di sini.

Terdahulu, keberangkatan tiba Tengku Amir Shah di Dewan Syarahan dan Muzakarah disambut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika mengumumkan perkara itu berkata Abdul Rauf, 53, banyak menyumbang ke arah perkembangan agama dan umat Islam justeru layak dijadikan model insan masyarakat Islam di Selangor.

Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata Ketua Jabatan Bahasa Asing Fakuliti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia itu juga memberi inisiatif penuh kepada menyusun pelbagai mushaf al-Quran dengan panduan waqaf dan ibtida’.

“Penghasilannya dapat dilihat melalui beberapa siri penerbitan buku beliau antaranya Mushaf al-Mujawwad Perjuzuk, Mushaf Kamil Dengan Panduan Waqaf Dan Ibtida’ dan Mushaf al-Mujawwad.

“Beliau yang juga Anggota Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Islam dan Tahfiz, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) turut terlibat dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan persatuan termasuk beberapa lajnah dan jawatankuasa yang memerlukan kepakarannya,” kata Mohd Shahzihan.

[caption id="attachment_663596" align="alignnone" width="819"] Penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul 1446H, Prof Madya Dr Abdul Rauf Hassan pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Selangor 1446/2024 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Negeri, Shah Alam pada 16 September 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI[/caption]

Abd Rauf yang membawa pulang wang tunai RM20,000, trofi dan sijil ketika ditemui berkata anugerah itu menjadi pemangkin semangat untuknya meneruskan usaha mengembangkan bidang al-Quran dan bahasa Arab.

“Semoga bahasa Arab dan al-Quran dapat berkembang dengan baik di Selangor. Dengan penglibatan saya sebagai hakim musabaqah tilawah al-Quran saya melihat ini adalah satu usaha murni Kerajaan Selangor memberikan ruang untuk kami teruskan usaha gigih kembangkan al-Quran dan bahasa Arab,” katanya.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Setia Haris Kasim berkata selaras tema sambutan Maulidur Rasul ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’, umat Islam diajak merenung dan mengambil inspirasi keperibadian mulia Rasulullah SAW dalam membina masyarakat cemerlang, berdaya saing berteraskan nilai Islam yang syumul.

“Rasulullah SAW manifestasi sempurna konsep Al-Falah yang merujuk kejayaan hakiki di dunia dan di akhirat dengan Baginda diutuskan bukan sekadar untuk menyampaikan ajaran Islam tetapi juga menjadi contoh yang unggul dalam pelbagai aspek kehidupan manusia.

“Rasulullah SAW bukan sekadar penyampai wahyu tetapi juga contoh teladan hidup bagi seluruh umat manusia dengan Baginda telah menunjukkan cara mencapai kejayaan hakiki bukan hanya dari sudut material, tetapi juga kerohanian dan kemasyarakatan,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.