Tempahan Rembayung tergendala, netizen suarakan kebimbangan isu 'scalper'

5 Jan 2026, 2:05 AM
Tempahan Rembayung tergendala, netizen suarakan kebimbangan isu 'scalper'

SHAH ALAM, 5 JAN: Dakwaan kewujudan ‘scalper’ menjadi antara reaksi utama netizen susulan kegagalan sistem tempahan slot pertama restoran Rembayung yang dilaporkan tergendala akibat trafik terlalu tinggi, malam tadi.

Seorang netizen berkongsi tangkap layar iklan di Facebook yang didakwa menawarkan penjualan semula slot tempahan restoran berkenaan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap aktiviti tidak sah.

“Dah ada scalper. Dah agak dah,” tulisnya di aplikasi Thread.

Isu berkenaan mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen yang menggesa agar langkah kawalan lebih ketat dilaksanakan bagi mengelakkan perkara sama berulang pada masa akan datang.

Dalam pada itu, insiden berkenaan turut membuka perbincangan lebih luas mengenai keupayaan kepakaran teknologi maklumat (IT) tempatan, apabila ramai pengguna media sosial tampil memberikan pandangan serta cadangan penambahbaikan sistem tempahan tersebut.

Tangkap layar dikongsi netizen yang didakwa menawarkan penjualan semula slot tempahan restoran berkenaan.

Seorang netizen berpandangan kejadian itu secara tidak langsung membuktikan kewujudan ramai penggiat perisian dan pakar IT tempatan yang berkemahiran, selain lebih memahami corak dan tingkah laku pengguna tempatan.

“Disebabkan kejadian tadi, baru tahu rupanya ada ramai software IT lokal yang hebat juga, boleh tahu masalah siap bagi cadangan. Rasanya KA (Khairul Aming) boleh guna lokal punya software IT sebab mereka lebih kenal crowd KA macam mana,” tulisnya.

Terdahulu, pemilik restoran Rembayung, Khairul Aming menerusi satu kenyataan ringkas memohon maaf kepada orang ramai atas gangguan sistem tempahan yang berlaku.

“Mohon maaf laman web tempahan Rembayung crash tadi. Kami dah cuba yang terbaik tapi masih tak boleh tampung trafik yang tinggi.

“Kepada 3,000 pelanggan yang dah berjaya buat tempahan Rembayung tadi, kami akan cuba yang terbaik untuk bagi anda pengalaman menjamu selera di Rembayung. Terima kasih semua,” katanya.

Pempengaruh media sosial terkenal itu mengumumkan slot tempahan untuk menikmati sajian di Restoran Rembayung dibuka mulai jam 9 malam tadi.

Butiran mengenai slot tempahan di restoran yang menyajikan makanan kampung itu dijelaskan Khairul melalui sesi 'live' TikTok.

Awal bulan lalu, Khairul membuat pengumuman mengejutkan menerusi media sosial bahawa beliau akan membuka restoran pertama, Rembayung, iaitu projek yang diusahakannya sejak setahun lalu pada kos RM4 juta.

Restoran Rembayung dilapor dibina di atas tanah seluas 8,000 kaki persegi di Kampung Baru, iaitu hanya sembilan minit dari pusat beli-belah KLCC atau Menara Berkembar PETRONAS.