SHAH ALAM, 22 JULAI: Kerajaan disaran memperkukuh kerangka perundangan berkaitan perlindungan data peribadi susulan dakwaan kebocoran penyata bil telefon milik usahawan dan pempengaruh media sosial, Khairul Aming, baru-baru ini.
Setiausaha Kehormat Pertubuhan Pengguna Ekonomi Digital Malaysia, Muhammad Sha'ani Abdullah berkata insiden itu menjadi peringatan bahawa kesedaran mengenai hak perlindungan data peribadi dalam kalangan masyarakat masih rendah.
Beliau berkata kebocoran maklumat peribadi seperti rekod telekomunikasi atau butiran kewangan yang mudah diakses boleh mengundang pelbagai risiko, termasuk kecurian identiti, penipuan dan jenayah siber.
“Sebagai contoh, di kedai telefon, untuk daftar kad sim kita gunakan nombor kad pengenalan. Di situ akan keluar semua data maklumat kita. Kalau tiada pemantaun di kedai itu, sesiapa sahaja boleh akses maklumat kita.
“Ini harus diperketatkan. Semua bentuk pendaftaran perlu guna secara imbasan bukan tunjuk atau menggunakan salinan kad pengenalan. Ini bagi memastikan tiada mana-mana pihak menyalahgunakan maklumat peribadi kita,” katanya kepada Media Selangor.
Dalam pada itu, Muhammad Sha’ani mencadangkan kerajaan mengkaji semula penguatkuasaan Seksyen 3 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) berikutan ia mengecualikan Kerajaan Persekutuan dan negeri daripada pemakaian akta tersebut.
Jelasnya, Malaysia wajar mengambil contoh amalan terbaik antarabangsa seperti Peraturan Perlindungan Data Umum Kesatuan Eropah (GDPR) yang mewajibkan semua data peribadi dilindungi tanpa mengira mana-mana pihak, termasuk kerajaan.
“Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) hanya dikuatkuasa kepada syarikat komersial, tidak tertakluk kepada semua agensi kerajaan Pusat dan negeri. Ini satu kelompongan undang-undang.
“Pengalaman kita, banyak kebocoran maklumat berlaku daripada agensi kerajaan. Di Eropah, semua pihak mewajibkan ikut undang-undang perlindungan data peribadi, tiada terkecuali.
“Piawaian ini harus digunakan juga di Malaysia. Kalau tidak, kita hanya akan berterusan menuding jari tanpa sifat kebertanggungjawaban,” katanya.
Kelmarin, Khairul Aming menerusi aplikasi Thread mempersoalkan bagaimana maklumat berkaitan bil telefon peribadinya boleh diketahui pihak lain dan disebarkan secara terbuka di media sosial.
Pempengaruh itu turut meminta penjelasan daripada pihak syarikat telekomunikasi berkenaan mengenai dakwaan kebocoran maklumat bil telefon peribadinya yang didedahkan oleh seorang pengguna media sosial.
Susulan itu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapatkan laporan penuh berhubung dakwaan kebocoran maklumat peribadi telekomunikasi Khairul Aming.
Syarikat telekomunikasi, Maxis, menerusi kenyataan semalam turut memohon maaf susulan kebocoran maklumat tersebut selain mengesahkan insiden itu berpunca daripada akses tanpa kebenaran oleh seorang individu.







