ad

Bangkit dari kejatuhan: Saudagar Nanas diiktiraf Ikon Agro Selangor

5 Sep 2025, 4:01 AM
Bangkit dari kejatuhan: Saudagar Nanas diiktiraf Ikon Agro Selangor
Bangkit dari kejatuhan: Saudagar Nanas diiktiraf Ikon Agro Selangor
Bangkit dari kejatuhan: Saudagar Nanas diiktiraf Ikon Agro Selangor
Bangkit dari kejatuhan: Saudagar Nanas diiktiraf Ikon Agro Selangor
Bangkit dari kejatuhan: Saudagar Nanas diiktiraf Ikon Agro Selangor

SEPANG, 5 SEPT: Keputusan meninggalkan kerjaya tetap pada 2014 untuk mengusahakan restoran membawa detik sukar buat Mohd Noorhardy Mohd Noorzain apabila perniagaan itu tidak bertahan, malah beliau berdepan episod kemurungan.

Lebih setahun hidupnya terhimpit sehingga kereta ditarik, rumah terpaksa dilepaskan dan beliau sekeluarga menumpang di kediaman mentua. Namun, perjalanan menunaikan umrah atas bantuan seorang rakan karib mengubah segalanya.

“Saya berhenti kerja sekitar 2014 untuk mengusahakan perniagaan restoran. Namun, keadaan ekonomi tidak menyebelahi dan perniagaan itu tidak bertahan lama. Saya pernah tempuh, pernah rasa kemurungan dalam setahun juga. Saya langsung tiada duit sampai kereta kena tarik, kena keluar dari rumah dan terpaksa duduk dengan mentua.

Pengasas Saudagar Nanas Agrofarm Mohd Noorhardy Mohd Noorzain ditemui di Sungai Merab Luar, Bangi pada 28 Ogos 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Tapi kawan baik saya bantu bangkit semula. Saya memang tidak akan lupa dia. Dia bawa pergi umrah. Balik umrah saya terus jual nanas bermula di kiosk. Masa itu dapat untung baru bayar,” katanya.

Dari kiosk ke ladang wakaf

Dari kiosk kecil itu, Noorhardy mula menanam nanas di tanah milik bapa mentua sebelum mengembangkan usaha ke tahap lebih besar. Kini, beliau mengusahakan projek agropelancongan Saudagar Nanas Agrofarm di atas tanah wakaf milik Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) seluas 13 ekar di Sungai Merab.

Bekas penjawat awam berusia 45 tahun itu berkata, usaha di tanah wakaf membawa nilai tambah yang tidak ada pada tanah biasa kerana manfaatnya berlipat ganda kepada pewakaf, pengusaha dan masyarakat.

“Bila diusahakan atas tanah wakaf, pada saya dapat beri manfaat berlipat ganda kepada pewakaf tentunya. Contohnya bila saya tanam nanas, setiap pokok ini keluarkan oksigen. Jadi pahala itu berterusan dan paling penting pewakaf dapat. Itu baru mengenai pokok, belum lagi buah dan banyak lagi.

Pengasas Saudagar Nanas Agrofarm Mohd Noorhardy Mohd Noorzain menunjukkan sebahagian produk dari buah nanas di Sungai Merab Luar, Bangi pada 28 Ogos 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Usaha PWS buat ini memang bagus. Apabila dimanfaatkan tanah wakaf untuk projek pertanian, agropelancongan dan komersial, pahala itu berpanjangan selagi mana ia dimanfaatkan,” katanya.

Beliau menerima sokongan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (Selangor) yang menyalurkan bantuan benih sehingga usaha itu diiktiraf sebagai Ikon Agro Selangor 2022.

Tarikan agropelancongan berasaskan nanas

Kini, Saudagar Nanas Agrofarm bukan sahaja mengeluarkan buah segar tetapi menjadi lokasi agropelancongan dan pusat pembelajaran pertanian, menerima lawatan pelajar sekolah, universiti, persatuan malah pelancong dalam dan luar negara tanpa caj.

“Di sini, kita turut menyediakan kafe dan bakeri yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman berasaskan nanas, termasuk jus nanas, kopi nanas, karipap nanas, nasi goreng nanas, sambal nanas dan aiskrim nenas,” katanya.

Kafe di Saudagar Nanas Agrofarm Sungai Merab Luar, Bangi pada 28 Ogos 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Ubah stigma, wariskan manfaat

Mengulas lanjut, Noorhardy menegaskan stigma bahawa tanah wakaf hanya untuk masjid, surau atau tanah perkuburan perlu diperbetul agar masyarakat memahami konteks luas wakaf.

“Stigma tentang tanah wakaf hanya untuk tanah kubur, buat masjid dan sebagainya ini yang perlu diperjelas kepada masyarakat. Kita pupuk supaya masyarakat faham wakaf ini luas konteksnya. Kita usahakan tanah itu, sudah pasti pahala berterusan mengalir kepada pewakaf,” katanya.

Menyedari konsep wakaf sebagai jariah berpanjangan, beliau juga berhasrat mewakafkan projek Saudagar Nanas Agrofarm kepada PWS agar manfaatnya terus dinikmati generasi akan datang.

“Binaan yang dibangunkan di sini kekal. Jadi saya sudah beritahu PWS, untuk diwakafkan semua ini nanti,” katanya.

Pengunjung merakam gambar kenangan di Saudagar Nanas Agrofarm di Sungai Merab Luar, Bangi pada 28 Ogos 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.