KLANG, 2 SEPT: Kerja menaik taraf beberapa infrastruktur sukan bagi persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 berjalan lancar dan dijangka siap sepenuhnya Mac tahun depan.
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata antara lokasi yang diberi perhatian ialah Pusat Akuatik Darul Ehsan, Seksyen 13; Lapang Sasar Menembak Subang dan Stadium Pandamaran.
“Sekarang tengah kerja menaik taraf semua kemudahan sedia ada, di peringkat pihak berkuasa tempatan pun sama tengah buat kerja tersebut dan dijangka siap sekitar Mac nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika acara Kejuaraan Silat Sekolah-sekolah peringkat Negeri Selangor 2025 yang diadakan di KSL Esplanade Mall di sini, semalam.

Pada 22 Julai, Dato' Menteri Besar berkata SUKMA Selangor 2026 akan diadakan pada 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA dari 5 hingga 14 September.
Jelas Dato' Seri Amirudin Shari, upacara pembukaan temasya dwitahunan itu akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).