ad

MB: Perpaduan kunci kestabilan negara, fahami makna kemerdekaan

31 Ogos 2025, 2:20 PM
MB: Perpaduan kunci kestabilan negara, fahami makna kemerdekaan
MB: Perpaduan kunci kestabilan negara, fahami makna kemerdekaan

SABAK BERNAM, 31 Ogos: Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari mengingatkan rakyat agar terus mempertahankan perpaduan serta memahami makna sebenar kemerdekaan, bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 hari ini.

Beliau berkata semangat Rukun Negara bukan hanya sekadar lima prinsip namun bersekali dengan objektif panduan dalam mengukuhkan keharmonian negara.

"Objektif pertama sudah pasti mendidik serta mempertahankan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang ada dalam negara dan negeri. Perpaduan merupakan asas penting yang telah menjamin kejayaan kita selama ini.

"Sama ada kita berdepan rusuhan kaum 1969, krisis ekonomi 1985 dan 1998, krisis politik pada 2003, 2004 atau pandemik Covid-19 dari 2020 hingga 2022, rakyat tetap bersama-sama mempertahankan maruah dan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ekspo Merdeka Kampung Tradisi Peringkat Negeri Selangor 2025 di Stadium Sungai Besar di sini, hari ini.

Menurut Amirudin, krisis politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 juga menyaksikan pemimpin utama mencapai kata sepakat menubuhkan kerajaan perpaduan demi kestabilan negara.

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Kemerdekaan Kampung Tradisi Peringkat Negeri Selangor di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 31 Ogos 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

"Bila PRU15 tiada pemenang jelas, pemimpin utama sepakat. Cukuplah bertembung, sekarang kita nak semua bersatu padu untuk memastikan rakyat tidak keliru," katanya.

Tambahnya, perpaduan inilah yang menjadikan Malaysia stabil hingga mendapat keyakinan dunia, termasuk lawatan rasmi Presiden China dan penganjuran persidangan antarabangsa.

"Kalau dulu harga beras, ayam, telur jadi keresahan rakyat, hari ini Kerajaan Negeri dan persekutuan duduk sepakat. Harga barang asas sudah kembali stabil dan rakyat mampu miliki," katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak mudah terikut dengan budaya viral, fitnah dan berita palsu yang boleh menggugat kestabilan negara.

"Erti merdeka bukan tangan bebas ke mana-mana, tetapi kemampuan berfikir dengan jernih dan bertanggungjawab. Kalau satu berita tidak betul, jangan kongsi. Kalau tersilap, minta maaf dengan betul," tegasnya.

Beliau berkata, semangat Hari Kebangsaan tahun ini perlu dijadikan pengikat rakyat agar terus berpadu tenaga menuju ulang tahun ke-100 Malaysia pada 2057.

"Marilah kita berganding bahu memartabatkan bangsa dan negara dengan penuh bangga, bahagia demi menjadi tempat terbaik untuk semua. Selangor yang baik untuk semua. Malaysia yang kuat untuk semua," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.