ad

Mais seru rakyat hayati kemerdekaan, perkukuh akidah elak gejala sosial

30 Ogos 2025, 4:06 AM
Mais seru rakyat hayati kemerdekaan, perkukuh akidah elak gejala sosial
Mais seru rakyat hayati kemerdekaan, perkukuh akidah elak gejala sosial
Mais seru rakyat hayati kemerdekaan, perkukuh akidah elak gejala sosial

SHAH ALAM, 30 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menggesa umat Islam menghayati erti kemerdekaan sebenar dengan memperkukuh akidah serta menjauhi segala bentuk gejala sosial yang mampu menggugat masa depan masyarakat, khususnya generasi muda.

Pengerusinya Dato’ Salehuddin Saidin berkata, kemerdekaan bukan sekadar bebas secara fizikal tetapi turut merangkumi kebebasan daripada belenggu pemikiran sempit, fahaman liberal dan ekstrem yang menyesatkan.

“Erti kemerdekaan amat luas dan ia mencakupi kebebasan dari cengkaman pemikiran yang sempit dan liberal. Umat Islam harus bebas dari fahaman ekstrem serta menggugat kedudukan agama Islam,” katanya dalam kenyataan bersempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-68.

Malah, tambah beliau Bahagian Pemulihan Al-Riqab turut menzahirkan komitmen membantu golongan yang terkesan daripada aspek sosial dan akidah yang mana RM19.4 juta diagihkan kepada 15,288 orang asnaf riqab tahun lalu, manakala RM18.4 juta diperuntukkan tahun ini dengan 2,160 penerima direkodkan sehingga Jun.

Tambah Salehuddin, umat Islam juga disaran memperkukuh institusi keluarga dan masyarakat berlandaskan ajaran Islam sejati dengan mendahulukan perintah Allah SWT dalam segala tindakan demi membentuk komuniti berakhlak dan berdaya saing.

“Mais menyeru seluruh masyarakat di Selangor supaya terus menolak perbuatan dan akhlak yang tidak baik termasuk buli, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kebencian yang boleh menggugat kestabilan agama,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, sebagai institusi agama utama di negeri ini, Mais dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Selangor (Jais) akan terus mempergiat usaha pendidikan, kesedaran, dakwah dan penguatkuasaan bagi memastikan kesucian agama dan akidah umat Islam sentiasa terpelihara.

Jelasnya, program pendidikan berterusan sangat penting agar umat Islam terus berada pada landasan ajaran sebenar Islam dan menjadi benteng kepada pengaruh negatif serta keruntuhan moral.

"Sehubungan itu, Mais dan Jais akan menganjurkan Program Solat Hajat Perdana secara serentak di seluruh masjid dan surau negeri Selangor selepas solat Jumaat pada 5 September ini bagi memohon perlindungan daripada kemungkaran dan ancaman luar yang menggugat keharmonian negeri.

“Saya memanjatkan doa agar kita semua umat Islam akan terus diberkati, dilimpahi rahmat dan dijauhkan daripada segala musibah dan keburukan,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.