SHAH ALAM, 27 OGOS: Selangor komited dalam usaha membaik pulih bangunan warisan milik Kerajaan Negeri khususnya di sekitar Dataran Merdeka, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor itu bertujuan memelihara khazanah serta menghidupkan semula identiti dan nilai sejarah bandar.
“Memulakan hari dengan lawatan ke ThinkCity di Wisma Maran. ThinkCity ditubuhkan pada 2009 oleh Khazanah Nasional Berhad yang memberi fokus kepada pembangunan bandar mampan berlandaskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Fokus lawatan kali ini adalah usaha membaik pulih bangunan warisan milik Kerajaan Negeri Selangor di sekitar Dataran Merdeka, termasuk Mahkamah Perusahaan dan Muzium Muzik,” katanya menerusi Facebook.
Menurut Amirudin, antara agenda yang dibincangkan adalah Projek Shah Alam Sponge Cities Programme, yang menekankan pengurusan air mampan melalui penggunaan semula air hujan dan perlindungan kawasan tadahan.
Selain itu, katanya, kedua-dua pihak turut membincangkan Program Kita-untuk-Kita Selangor yang memberi impak besar kepada penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 dan PPR Kampung Baru Hicom.
“Program Warisan KL juga disentuh, dengan fokus memelihara dan memulihara warisan bersejarah di ibu negara terutamanya yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri.
“Insya-Allah, Selangor akan terus komited melaksanakan inisiatif dan usaha berterusan demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan yang mampan,” katanya.




