SHAH ALAM, 27 OGOS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di Kuala Lumpur hingga 4 petang.
Amaran sama dikeluarkan melibatkan lima daerah di Selangor iaitu Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak dan Petaling.
MetMalaysia juga meramalkan hujan lebat di seluruh Melaka dan Labuan selain beberapa daerah di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah.
Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan lebat dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam yang dijangka berterusan lebih sejam.
Amaran ini adalah amaran jangka pendek yang sah selama maksimum enam jam bagi satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan agar sentiasa merujuk laman sesawang rasmi MetMalaysia di www.met.gov.my, mengikuti media sosial mereka serta memuat turun aplikasi myCuaca untuk mendapatkan maklumat terkini dan tepat.
