SHAH ALAM, 8 JUN: Kestabilan pengurusan serta sinergi kukuh antara jurulatih dan pemain menjadi faktor utama kejayaan Selangor Red Giants (SRG) mempertahankan kejuaraan Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang (MLBB) Malaysia (MPL MY) buat kali kelima berturut-turut.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata kejayaan berterusan itu tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil kerjasama erat semua pihak dalam organisasi yang berjaya mewujudkan persekitaran profesional dan fokus.
Menurutnya, tekanan untuk mengekalkan prestasi sentiasa wujud apabila membawa nama Selangor sama ada dalam bola sepak mahupun e-sukan.
“Bola dan e-sukan ini sebenarnya tak lari jauh, bola kena menang e-sukan kena menang…kalau SRG kalah banyak kecaman semua akan keluar. Memang dari segi jangkaan, prestasi kena teruskan,” katanya menerusi hantaran video di Facebook HarimauMalaya semalam.
Dr Johan berkata cabaran tersebut diterima secara positif kerana semua pihak berkongsi matlamat sama untuk mencapai kemenangan dan memberikan persembahan terbaik.

“Bila bawa nama Selangor, e-sukan ke bola ke apa-apa sukan kena beri yang terbaik. Pada kita ini satu cabaran yang kita alu-alukan sebab matlamat sama nak menang dan nak buat yang terbaik,” katanya.
Beliau turut menegaskan kestabilan dalam pasukan menjadi elemen paling penting dalam memastikan SRG terus berada pada tahap tertinggi.
“Bagi saya yang paling penting adalah kestabilan dan juga sinergi yang baik antara pengurusan dan juga jurulatih dan juga pemain kerana kita berjaya mewujudkan satu persekitaran sangat profesional, sangat fokus,” katanya.
Semalam, SRG melakar sejarah apabila terus mendominasi Liga Profesional MLBB Malaysia (MPL MY) apabila mempertahankan kejuaraan liga buat kali kelima berturut-turut sejak musim ke-13.
Pada aksi Grand Final musim ke-16 di Stadium Juara, Bukit Kiara itu, SRG yang dibarisi Mark Rusiana (Kramm), Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Hazziq Danish Rizwan (Stormie), Muhammad Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums) dan John Vincent Banal (Innocent) mencatat kemenangan bersih 4-0 ke atas Team Vamos.
Selaku juara SRG membawa pulang wang tunai USD31,900 (kira-kira RM128,000) manakala naib juara Team Vamos menerima USD18,700 (kira-kira RM75,000).
Selain itu, SRG dan Team Vamos turut mendapat tiket automatik mewakili Malaysia pada MSC di Piala Dunia E-sukan di Paris, Perancis Julai ini.






