OLEH SHEEDA FATHIL
SHAH ALAM, 24 OGOS: Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai inisiatif untuk memperkasa peniaga Melayu termasuk aspek pendigitalan dan pemasaran melalui Platform Selangor (PLATS).
EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata pentadbiran negeri juga menawarkan skim i-Bisnes dan Niaga Darul Ehsan (NaDI) di bawah Yayasan Hijrah Selangor, khusus untuk penjaja yang ingin mengembangkan perniagaan atau memerlukan modal pusingan.
Beliau berkata Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS) pula menawarkan geran barangan perniagaan bernilai sehingga RM30,000.
“Selain itu kita menyediakan banyak tapak niaga berlesen seperti pasar malam, bazar Ramadan dan raya, tapak khas hari minggu, kawasan dataran atau rekreasi.
“Contohnya, tawaran mengelola aktiviti niaga di ratusan lokasi bazar yang diluluskan setiap musim. Penjaja Melayu adalah penerima manfaat utama,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa PBT dan kerajaan negeri supaya tidak mengabaikan kepentingan peniaga kecil serta penjaja Melayu di bandar.
Perdana Menteri berkata kehebatan sebuah bandar raya bukan terletak kepada pembangunan sahaja tetapi bagaimana PBT meningkatkan kemudahan asas kepada warga peniaga kecil.
Mengulas lanjut, Mohd Najwan berkata pentadbiran negeri juga memperkenal dasar Speed Selangor untuk mempercepat kelulusan perniagaan di peringkat PBT.
“Usaha ini termasuk mengadakan jelajah PLATS Masuk Bazar dan jelajah Geran Digital Penjaja Madani supaya penjaja tradisional tidak tercicir dalam ekonomi digital,” katanya.