ad

Negeri cadang wujud garis panduan pastikan keselamatan pelajar tahfiz

21 Ogos 2025, 11:49 AM
Negeri cadang wujud garis panduan pastikan keselamatan pelajar tahfiz

SHAH ALAM, 21 OGOS: Kerajaan Negeri bercadang mewujudkan satu garis panduan bagi memastikan keselamatan pelajar tahfiz di Selangor berada dalam keadaan terjamin dan selamat.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata pihaknya akan bekerjasama dengan jawatankuasa tetap ekonomi penjagaan bagi merangka dasar berkenaan.

"Saya akan menganjurkan satu bengkel dengan YB (Yang Berhormat) Anfaal Saari untuk kita bincang bagi mewujudkan garis panduan dan dasar keselamatan pelajar di institusi tahfiz di negeri ini.

"Kita akan mula mesyuarat minggu depan kemudian diikuti sesi bengkel bersama pihak berkaitan. Sekiranya cantik garis panduan ia akan diguna pakai di semua pusat tahfiz swasta dan kerajaan.

"Saya yakin insya-Allah garis panduan ini jika dapat dibuat dengan cantik pendidikan Islam di Selangor terkawal dan keselamatan anak lebih terjamin," katanya kepada Media Selangor.

Mengulas lanjut, Dr Mohammad Fahmi berkata ibu bapa juga perlu memainkan peranan dan elakkan paksaan dalam menghantar anak ke pusat tahfiz.

"Ada segelintir ibu bapa nak perbaiki akhlak anak mereka dengan menghantar ke pusat tahfiz sedangkan anak tidak rela, hal ini yang menyumbang kepada perkara negatif seperti buli, dera dan sebagainya.

"Perkara ini tidak sewajarnya berlaku, sebagai ibu bapa kita perlu mendengar, menasihati dan elakkan memaksa mereka," katanya.