ad

Beberapa Pengakuan

17 Ogos 2025, 12:30 AM
Beberapa Pengakuan

BEBERAPA PENGAKUAN

i/

dipayungkan lebat hujan, masih aku basah

kaki malah perlahan melangkah

meski perlu berlari mencari teduhsinggah

nasi disuap tapi tak pernah membutir kenyang

mulut tak pernah pula nganga kala lapar

mimpi tak lagi perlu memilih malam

untuk tampil bergentayang

ii/

pernah menjadi bunga tak kenal layu

kelopaknya fleksibel plastik

pernah menjadi kuntum malar harum

mekarku semerbak pewangi

pernah menjadi kudup cerah menggoda

pudar warna paling asing

iii/

lelah enggan melompat, meloncat

mengambil tempat di podium alasan

terpadamlah marak keputusasaan

setiap pagi, aku menikmati jalan paling nyaman

di simpang-simpang menyesatkan

iv/

menggeledah perenggan kesepian dan kekosongan,

aku belajar berhenti sejenak

untuk faham tanda-tanda baca yang berselerak

v/

mencintai tengkujuh adalah mutlak

seorang aku yang kemarau dengan makna air

antara lapis-lapis warna mengisi pelangi

bukankah hitam yang paling layak?

sementelahan cakarcakar kilat, tak lagi

menjelma sebelum guruh.

Adie Abd Gani

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.