SHAH ALAM, 14 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pentadbiran kerajaan MADANI mencatatkan pencapaian luar biasa dalam agenda reformasi undang-undang, apabila jumlah pindaan dan pemansuhan undang-undang lapuk yang dilaksanakan sejak dua setengah tahun lalu adalah yang tertinggi sejak merdeka.
Menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid di Dewan Rakyat hari ini, Anwar berkata proses semakan dan reformasi undang-undang yang dijalankan kini melibatkan pelbagai peruntukan yang sudah lama tertangguh.
“Sejak 1957, belum pernah ada reformasi undang-undang yang dilakukan sebanyak ini dalam tempoh singkat. Antara yang berjaya dilaksanakan termasuk pemansuhan Seksyen 309 Kanun Keseksaan, penggubalan Akta Kewangan Awam atau Tanggungjawab Fiskal 2023, Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) serta Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak,” katanya.
Bagi tahun ini, perdana menteri memaklumkan beberapa undang-undang utama akan dibentangkan, termasuk Akta Perkhidmatan Parlimen yang dibincangkan puluhan tahun, Rang Undang-Undang Ombudsman, Rang Undang-Undang Kuasa Admiralti, Rang Undang-Undang Jenayah Siber, serta pelaksanaan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya – satu tuntutan lama yang kini hampir direalisasikan.
Beliau turut memaklumkan bahawa semua perkembangan ini direkodkan dan boleh diakses melalui laman sesawang Peta Reformasi Institusi (PetaRI) yang diterajui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri.
Dari segi jumlah, pada 2023 sahaja kerajaan memperkenalkan lima akta baharu dan meminda 34 akta sedia ada. Tahun 2024 pula menyaksikan lima akta baharu dan 57 pindaan, manakala setakat pertengahan 2025, empat akta baharu dan enam pindaan telah diluluskan, selain 11 rang undang-undang yang sedang dalam proses, termasuk dua pindaan Perlembagaan berkaitan kewarganegaraan dan Perjanjian Perkhidmatan Awam (PSA).
“Ini adalah rekod dua setengah tahun pentadbiran kerajaan MADANI yang belum dapat ditandingi oleh mana-mana kerajaan termasuk kerajaan Yang Berhormat sebelum ini,” tegas Anwar.